Categories
AGENSI SELANGOR

Imigresen tahan 21 pendatang tanpa izin di kilang jahit pukal

SHAH ALAM, 17 MAC: Seramai 21 pendatang asing tanpa izin terdiri daripada 19 lelaki warga Bangladesh dan dua wanita Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Negeri Selangor dalam operasi di dua premis perniagaan dijadikan kilang jahit pukal di sini semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata mereka yang ditahan dalam operasi empat jam yang bermula 2 petang itu, berusia antara 20 hingga 45 tahun dan dipercayai telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen.

“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Negeri Selangor bagi siasatan lanjut dan seterusnya akan ditahan reman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya kesalahan yang dikesan semasa pemeriksaan adalah tinggal tanpa pas atau permit yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas yang telah diberikan.

Beliau berkata semasa serbuan dilakukan kesemua mereka sedang bekerja menjahit pakaian di premis itu yang tidak memaparkan sebarang papan tanda perniagaan dan pasukan operasi juga terpaksa memecahkan pintu jeriji besi kerana tidak mendapat kerjasama penghuni bagi melakukan pemeriksaan.

Mohamad Shukri berkata kehadiran anggota penguat kuasa yang memakai kelengkapan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) juga telah mengejutkan mereka.

Mereka juga memberikan pelbagai helah agar tidak ditahan termasuk hanya datang berjumpa rakan, majikan lama tidak mendapat kontrak kerja dan diberikan kelonggaran untuk bekerja di sektor yang berlainan, katanya.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan juga didapati seorang pendatang perempuan warganegara Indonesia berusia awal 30-an sedang hamil enam bulan dan mendakwa suaminya juga seorang warganegara Indonesia mempunyai pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang bekerja sebagai buruh binaan,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati mereka menerima upah dari RM45 hingga RM50 sehari.

“Pihak Jabatan Imigresen juga akan turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan majikan atau pelindung kepada pendatang ini, dan sekiranya terbukti, akan turut dikenakan tindakan undang-undang yang sedang berkuat kuasa termasuk didakwa di mahkamah,” katanya.

– BERNAMA