Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM600,000 bantu petani, penternak terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan Selangor membelanjakan sebanyak RM648,600 bagi membantu petani dan pengusaha ternakan yang terjejas berikutan Covid-19.

EXCO pertanian berkata sumbangan kepada 934 penerima meliputi bantuan makanan ternakan, akuakultur dan bahan mentah yang diagih secara berperingkat.

“Tujuan bantuan untuk meringankan beban mereka dan memberi semangat supaya terus bertani dan menternak.

“Kita juga akan sentiasa membantu golongan ini kerana mereka antara yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif meringankan beban golongan tersebut.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif itu antaranya baucar petrol (nelayan), barangan pertanian (petani), makanan ternakan (penternak) dan bahan mentah (pengusaha industri asas tani).

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.