Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran getah dijangka alami dagangan jajaran kecil

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami dagangan berjajaran kecil minggu depan, dengan minat belian mungkin suram, menurut Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Presiden terdahulu yang terdekat, Denis Low berkata sentimen pemulihan yang ditunggu-tunggu dengan didorong pelaksanaan program vaksin Covid-19 di banyak negara reda minggu lepas apabila pembukaan perniagaan dan industri secara berterusan tidak berlaku.

“Permintaan tidak menentu bagi pengisian semula stok sama ada getah basah atau kering akan wujud minggu depan, dan harga mungkin berada dalam mod berjulat kecil dengan kecenderungan meningkat adalah amat rendah,” katanya kepada Bernama.

Mengenai peningkatan kes Covid-19 secara mengejut di Eropah, Low berkata kenaikan iitu telah mengganggu sentimen pemulihan, terutama di Itali dan Jerman yang telah menguatkuasakan perintah sekatan pergerakan untuk mengekang penularan virus.

“Ini juga jelas bahawa vaksin tidak mencukupi dan ia sebenarnya mungkin mengambil masa 18 bulan lagi atau lebih untuk memastikan sebahagian besar penduduk di seluruh dunia mendapat suntikan vaksin.

“Perjalanan untuk mencapai status keimunan kelompok menjadi sukar dan panjang,” katanya.

Mengenai masalah bekalan, Low berkata bekalan getah masih boleh urus walaupun pokok getah kini mengalami musim daun luruh.

Tempoh musim daun pokok getah luruh dan diganti oleh pertumbuhan daun baharu adalah di antara Februari dengan Mei.

Dalam tempoh ini, metabolisme pokok dan pengeluaran susu getah amat terjejas.

Bagi dagangan yang berakhir minggu ini, pasaran getah tempatan amat dipengaruhi oleh pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah, kebimbangan mengenai peningkatan kes Covid-19 di Eropah serta hubungan perdagangan di antara Amerika Syarikat dengan China.

Berasaskan mingguan, harga rujukan bagi getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 susut 30 sen kepada 690.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal kurang empat sen kepada 678 sen sekilogram.

Pada 5 petang pada Jumaat, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 699 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 681 sen sekilogram.

– BERNAMA