Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Dagangan pasaran getah dijangka dalam jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Pasaran getah Malaysia dijangka terus diniagakan dalam jajaran kecil dan cenderung mengalami penurunan pada minggu depan berikutan permintaan pasaran yang lebih rendah.

Bekas Presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low berkata permintaan kukuh bagi komoditi itu hanya dijangkakan pada suku ketiga tahun ini ketika pelabur terus berharap supaya kes Covid-19 berkurangan selepas musim panas.

“Kita mungkin menyaksikan usaha menambah stok berdasarkan penggunaan semasa dan turut membabitkan lateks juga berikutan permintaan terhadap sarung tangan getah yang masih kukuh,” katanya kepada Bernama.

Menurut Low, sejajar perkembangan Covid-19 yang terus melanda dunia, sebarang langkah pelaksanaan sekatan pergerakan yang ketat akan turut memberi kesan terhadap aspek logistik, sekali gus menjejaskan permintaan getah.

“Sebarang sekatan walaupun separa di kebanyakan negara akan menjejaskan pembukaan semula industri, pejabat serta sekolah.

“Malah, kita juga masih belum menyaksikan penyambungan operasi perjalanan udara atau pelancongan berkaitan yang pastinya akan terus terjejas teruk,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah menyaksikan prestasi bercampur-campur sebelum mengakhiri dagangan lebih lemah selepas kekurangan penyertaan penggiat pasaran dalam tempoh dagangan singkat berikutan cuti Good Friday.

Pasaran turut dipengaruhi oleh prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah, keresahan atau kebimbangan membabitkan kemungkinan pelaksanaan perintah sekatan pergerakan akibat peningkatan kes Covid-19 di peringkat global serta hubungan dagangan Amerika Syarikat-China.

Bagi asas perbandingan mingguan, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 susut 13 sen kepada 660.5 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 24 sen kepada 632 sen sekilogram iaitu masing-masing 2.0 peratus dan 3.7 peratus lebih rendah berbanding minggu sebelum ini.

Pada 5 petang Jumaat, harga penutup LGM bagi SMR 20 pada 661 sen sekilogram manakala lateks pukal mencatat 633 sen sekilogram.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran getah dijangka niaga dalam jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan berjajaran kecil dengan kecenderungan menurun minggu depan berikutan lonjakan kes baharu Covid-19 di peringkat global.

Bekas presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata ketika kerajaan di kebanyakan negara mengenakan sekatan perjalanan bagi membendung penularan Covid-19, proses pemulihan terhadap perniagaan dan sekolah pastinya akan terjejas.

“Malah, pelaksanaan vaksin agak perlahan dan tidak menggalakkan untuk semuanya kembali pulih seperti biasa.

“Jadi, kami menjangkakan satu lagi minggu yang lembap untuk pasaran getah dengan permintaan yang sekali-sekala,” katanya kepada Bernama.

Katanya, peniaga mungkin melakukan dagangan berhati-hati minggu depan dengan penggunaan yang masih perlahan.

Bagaimanapun Low berkata, beliau yakin ia tidak akan menyebabkan turun naik pasaran. Sebaliknya, beliau berkata harga getah mungkin akan terus stabil berikutan keadaan lebihan stok belum dapat dilihat buat masa ini.

Bagi minggu yang baharu berakhir, pasaran getah tempatan dipengaruhi terutamanya oleh pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah, pengeluaran automotif global, serta kebimbangan terhadap lonjakan kes Covid-19 di Amerika Syarikat dan Eropah.

Berasaskan mingguan, harga rujukan bagi getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 turun 17 sen kepada 673.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal jatuh 22 sen kepada 656 sen sekilogram.

Pada 5 petang Khamis, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 673.5 sen sekilogram berbanding 699 sen sekilogram pada Jumaat lepas, manakala susu getah pukal adalah 681 sen sekilogram berbanding 651 sen sekilogram baru-baru ini.

Pasaran getah Malaysia ditutup semalam sempena cuti Good Friday seiring pasaran getah antarabangsa dan akan kembali meneruskan dagangan pada Isnin.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran getah dijangka alami dagangan jajaran kecil

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami dagangan berjajaran kecil minggu depan, dengan minat belian mungkin suram, menurut Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Presiden terdahulu yang terdekat, Denis Low berkata sentimen pemulihan yang ditunggu-tunggu dengan didorong pelaksanaan program vaksin Covid-19 di banyak negara reda minggu lepas apabila pembukaan perniagaan dan industri secara berterusan tidak berlaku.

“Permintaan tidak menentu bagi pengisian semula stok sama ada getah basah atau kering akan wujud minggu depan, dan harga mungkin berada dalam mod berjulat kecil dengan kecenderungan meningkat adalah amat rendah,” katanya kepada Bernama.

Mengenai peningkatan kes Covid-19 secara mengejut di Eropah, Low berkata kenaikan iitu telah mengganggu sentimen pemulihan, terutama di Itali dan Jerman yang telah menguatkuasakan perintah sekatan pergerakan untuk mengekang penularan virus.

“Ini juga jelas bahawa vaksin tidak mencukupi dan ia sebenarnya mungkin mengambil masa 18 bulan lagi atau lebih untuk memastikan sebahagian besar penduduk di seluruh dunia mendapat suntikan vaksin.

“Perjalanan untuk mencapai status keimunan kelompok menjadi sukar dan panjang,” katanya.

Mengenai masalah bekalan, Low berkata bekalan getah masih boleh urus walaupun pokok getah kini mengalami musim daun luruh.

Tempoh musim daun pokok getah luruh dan diganti oleh pertumbuhan daun baharu adalah di antara Februari dengan Mei.

Dalam tempoh ini, metabolisme pokok dan pengeluaran susu getah amat terjejas.

Bagi dagangan yang berakhir minggu ini, pasaran getah tempatan amat dipengaruhi oleh pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah, kebimbangan mengenai peningkatan kes Covid-19 di Eropah serta hubungan perdagangan di antara Amerika Syarikat dengan China.

Berasaskan mingguan, harga rujukan bagi getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 susut 30 sen kepada 690.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal kurang empat sen kepada 678 sen sekilogram.

Pada 5 petang pada Jumaat, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 699 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 681 sen sekilogram.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Musim meluruh, pasaran getah diniaga lebih tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Pasaran getah Malaysia dijangka berada dalam aliran yang lebih tinggi minggu depan memandangkan keadaan cuaca hujan yang jarang-jarang, mungkin menjejaskan pengeluaran lateks dalam beberapa minggu dan bulan akan datang.

Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low berkata ini sejajar dengan kedatangan musim meluruh pokok getah yang lebih awal.

”Kami percaya permintaan dan harga getah akan kekal teguh dalam beberapa minggu akan datang,” katanya kepada Bernama.

Pembeli dijangka akan tampil ke hadapan dan memegang stok untuk beberapa waktu, sementara menunggu industri serta pergerakan rakyat kembali normal.

”Ketersediaan vaksin juga dilihat sebagai pemangkin bagi merangsang perniagaan dan industri.” katanya lagi.

Secara mingguan, SMR 20 turun 35 sen kepada 702.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot 15.5 sen kepada 672.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga penutup MRB untuk SMR 20 berada pada 702.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 673.5 sen sekilogram.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran getah terus meningkat minggu depan

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan momentum menaiknya pada minggu hadapan memandangkan pengeluaran akan terus terjejas akibat musim tengkujuh.

Menurut seorang peniaga, statistik getah yang lebih baik yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan China pada minggu ini mungkin terus menyokong pasaran tempatan untuk bergerak ke hadapan.

Sementara itu, pakej bantuan ekonomi dan penjagaan kesihatan Covid-19 bernilai US$1.9 trilion yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden juga dijangka memberi sokongan lanjut kepada pasaran.

Cadangan itu termasuk peruntukan US$415 bilion bagi melawan virus Covid-19 melalui lebih banyak ujian dan vaksin, kira-kira US$1 trilion dalam bantuan langsung kepada isi rumah dan US$440 bilion untuk membantu perniagaan kecil dan komuniti yang terjejas akibat dilanda pandemik itu.

Secara mingguan, SMR 20 menambah 1.0 sen kepada 639 sekilogram, manakala lateks pukal merosot 5.5 hingga 551.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang semalam, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 berada pada 634 sen sekilogram, manakala lateks pukal sebanyak 551 sen sekilogram.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran getah dijangka didagang jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami dagangan dalam jajaran kecil minggu depan peniaga akan bercuti dan perniagaan ditutup untuk cuti Krismas.

Mantan Presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Dennis Low berkata beliau yakin terdapat juga kecenderungan meningkat pada harga kerana musim hujan di kawasan pengeluar getah.

“Lateks pukal akan menjadi stabil kerana pengeluar sarung tangan terpaksa menjual lebih banyak sarung tangan getah asli kerana kekurangan getah sintetik,” katanya kepada Bernama.

Ia akan memberi petanda baik untuk pengeluar lateks pukal, katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, harga SMR 20 susut 26 sen kepada 609.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal turun 8.5 sen kepada 574.50 sen sekilogram.

Pada pukul 5 petang pada Khamis lepas, harga rujukan bagi getah fizikal Lembaga Getah Malaysia untuk SMR 20 adalah pada 604.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 574.50 sen sekilogram.

Pasaran ditutup pada Jumaat untuk cuti Krismas dan akan dibuka semula pada 28 Disember.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga pasaran getah dijangka tidak menentu minggu depan

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan tidak menentu pada minggu depan berikutan faktor cuaca, penyakit pokok serta penularan pandemik Covid-19 global yang kian buruk.

Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata pengeluaran getah basah dan kering terjejas berikutan impak musim tengkujuh yang kini melanda kawasan penanaman getah dan menjejaskan usaha penorehan serta pengeluaran.

Menurutnya, keadaan cuaca berterusan itu serta berita mengenai kemungkinan hasil getah susut akibat masalah pokok, turut memberi kesan terhadap harga komoditi tersebut.

“Tidak dinafikan bahawa keadaan sedemikian akan menjadikan pasaran lebih lemah. Kita melihat faktor cuaca dan penyakit pokok itu lebih ketara berbanding sekatan pergerakan akibat Covid-19.

“Sehubungan itu, harga getah dijangka meningkat minggu ini dengan belian stok simpanan menerajui permintaan bagi getah basah dan kering,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, SMR 20 naik 5.50 sen kepada 645.5 sekilogram manakala susu getah pukal menokok 10.00 sen kepada 586.00 sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia bagi SMR 20 mencatat 647.00 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 589.50 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Harga getah dijangka gerak dalam jajaran kecil, aliran naik

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil tetapi lebih menjurus kepada aliran menaik dengan harga yang lebih baik minggu depan terutama menjelang musim monsun.

Bekas presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysian (MARGMA) Denis Low berkata permintaan untuk SMR 20 tidak menentu sementara pasaran lateks pukal seharusnya mendapat manfaat berikutan permintaan yang berterusan untuk sarung tangan getah perubatan.

Bagaimanapun, beliau berkata pasaran getah tidak dapat bertahan minggu lepas.

“Pasaran yang lemah minggu lepas diburukkan lagi dengan tindakan pekebun dan penoreh menghasilkan lebih banyak getah untuk mendapatkan harga yang lebih tinggi,” kata beliau kepada Bernama.

Minggu ini, pasaran getah ditutup rendah dengan SMR 20 berada pada RM631.5 sekg dan lateks pukal pada 672.0 sekg.

“Masing-masing merosot lapan peratus dan 10 peratus daripada minggu penutup sebelumnya,” tambah beliau.

Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumaat, SMR 20 merosot 55 sen kepada 631.5 sekg sementara lateks pukal turun 75.5 sen kepada 672.0 sekg.

Pada jam 5 petang Jumaat, harga rujukan getah fizikal Lembag Getah Malaysia untuk SMR 20 ialah pada 623.5 sen sekg sementara lateks pukal ialah pada 647.5 sen sekg.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Harga getah dijangka meningkat, banyak permintaan

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Harga Getah Malaysia dijangka akan meningkat pada minggu hadapan selepas gred tayar getah SMR 20 mendapat lebih banyak permintaan berbanding lateks pukal, kata Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Presiden MARGMA Denis Low berkata SMR 20 telah mencapai paras tertinggi baharu sejak Jun 2020 pada 502 sen sekilogram semalam.

Manakala, lateks pukal ditutup pada 456 sen sekilogram berikutan output yang lebih banyak.

“Pada amnya, pasaran kekal lengang berikutan ancaman pandemik Covid-19 di banyak negara sejak beberapa minggu kebelakangan ini,” katanya kepada Bernama.

Menurut Low, dijangkakan hari-hari yang akan datang, bakal menyaksikan pembelian getah yang lebih banyak selepas China bangkit daripada sekatan pandemik.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah diniagakan bercampur-campur memandangkan sentimen pasaran mengendur akibat peningkatan bilangan kes Covid-19 di peringkat global termasuk ketegangan Amerika Syarikat-China yang diperbaharui.

Bagaimanapun, seorang peniaga berkata sentimen di pasaran global telah disokong oleh berita positif mengenai vaksin Covid-19, yang seterusnya, mengimbangi kejatuhan dalam harga getah.

Dari Jumaat ke Jumaat, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 pada 12 tengah hari meningkat lima sen kepada 502 sen sekilogram, manakala lateks pukal merosot 11.5 sen kepada 457 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 naik 2.5 sen kepada 497 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 10.5 sen kepada 456 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran getah dijangka diniaga dalam jajaran kecil

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Pasaran getah Malaysia dijangka didagangkan dalam jajaran kecil minggu depan dengan kecenderungan meningkat terutamanya disebabkan tempoh Monsun Barat Daya.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low berkata cuaca lembap akan menyebabkan kerja-kerja menoreh getah tidak dapat dilakukan, sekali gus mendorong peningkatan harga yang lebih tinggi.

“Mengenai masa depan, kita akan menyaksikan harga yang lebih baik berikutan semakin banyak negara mula menamatkan perintah berkurung disebabkan oleh Covid-19.

“China masih merupakan pemangkin utama dan kita berharap republik ini akan memulakan semula industri mereka pada minggu-minggu berikutnya,” kata Low kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah kebanyakannya diniagakan bercampur-campur, menjejaki pasaran niaga hadapan serantau, prestasi harga minyak mentah dan data perdagangan serta kebimbangan gelombang kedua Covid-19.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk gred tayar SMR 20 meningkat 10.5 sen kepada 495.00 sen sekilogram, sementara susu getah pukal turun 5.0 sen kepada 479.50 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan getah fizikal LGM bagi SMR 20 naik 12 sen kepada 494 sen sekilogram manakala susu getah pukal turun 7.5 sen kepada 77.00 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Pasaran getah Malaysia dijangka mencatat dagangan kecil minggu depan berikutan kekurangan pemangkin untuk memacu permintaan di tengah-tengah penularan Covid-19 yang terus ketara di peringkat global.

Presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Dennis Low berkata minat terhadap SMR 20 yang terhad dicatatkan pada minggu lepas dan dijangka berterusan sehingga minggu ini dengan kecenderungan kenaikan harga yang kecil berbanding paras penutup RM489.00 sekilogram (kg) pada minggu lepas.

“Bagi susu getah pukal, harganya dijangkakan kekal pada paras semasa berikutan penawaran dan permintaannya yang kekal stabil,” katanya kepada Bernama.

Low berkata pengguna utama getah itu merupakan kalangan pengeluar sarung tangan getah yang terus membeli pada kadar yang stabil.

Pada minggu lepas, harga susu getah pukal ditutup pada RM485.00 sekilogram dan kekal pada paras hampir sama minggu ini, katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah kebanyakannya diniagakan hampir bercampur-campur berikutan penyusutan pasaran hadapan getah serantau serta turut dipengaruhi oleh penurunan harga minyak dan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

Selain itu, bagi asas Jumaat hingga Jumaat, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi gred tayar SMR 20 naik 8.5 sen kepada 489 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan setengah sen kepada 485.50 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 naik 11.5 sen kepada 494 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut tiga sen kepada 486 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Keluaran getah asli meningkat kepada 34,616 tan metrik pada April

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Banci Getah Bulanan bagi April 2020 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 0.3 peratus pada April 2020 kepada 34,616 tan metrik berbanding 34,506 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Laporan itu dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan perbandingan tahun ke tahun juga menunjukkan peningkatan 2.0 peratus daripada bulan sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata eksport getah asli Malaysia turun 10.2 peratus kepada 40,596 tan metrik pada April 2020 daripada 45,198 tan metrik pada Mac.

China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 48.9 peratus daripada jumlah eksport pada Mac diikuti Jerman (12.1 peratus), Amerika Syarikat (6.2 peratus), Iran (5.3 peratus) dan Taiwan (3.5 peratus).

“Eksport tertinggi adalah bagi item sarung tangan getah dengan nilai RM1,984.4 juta pada April, peningkatan 11.6 peratus berbanding Mac,” katanya pada taklimat media mengenai perangkaan tenaga buruh dan getah bulanan, di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata Malaysia mengeksport sarung tangan tertinggi ke Amerika Syarikat sebanyak 97,905 tan metrik pada April berbanding 24,737 tan metrik pada Mac, peningkatan 295.8 peratus, diikuti China (28.8 peratus) dan Jerman (9.9 peratus), didorong oleh permintaan tinggi disebabkan penularan pandemik Covid-19.

“Harga purata bagi lateks pekat merekodkan penurunan kepada 413.26 sen sekilogranm (kg) pada April berbanding Mac (435.66 sen sekilogram). Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) juga turun kepada 472.64 sen sekilogram berbanding 517.45 sen sekilogram bagi tempoh yang sama,” katanya.

Mohd Uzair berkata stok getah asli terus mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus daripada 319,486 tan metrik pada Mac kepada 321,214 tan metrik pada April.

“Pembuatan sarung tangah getah kekal mendominiasi industri pembuatan getah asli dengan penggunaan sebanyak 35,080 tan metrik atau 89.5 peratus daripada jumlah penggunaan domestik (39,208 tan metri) pada April,” katanya.

-BERNAMA