Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran getah dijangka alami dagangan jajaran kecil

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Pasaran getah Malaysia dijangka mengalami dagangan berjajaran kecil minggu depan, dengan minat belian mungkin suram, menurut Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Presiden terdahulu yang terdekat, Denis Low berkata sentimen pemulihan yang ditunggu-tunggu dengan didorong pelaksanaan program vaksin Covid-19 di banyak negara reda minggu lepas apabila pembukaan perniagaan dan industri secara berterusan tidak berlaku.

“Permintaan tidak menentu bagi pengisian semula stok sama ada getah basah atau kering akan wujud minggu depan, dan harga mungkin berada dalam mod berjulat kecil dengan kecenderungan meningkat adalah amat rendah,” katanya kepada Bernama.

Mengenai peningkatan kes Covid-19 secara mengejut di Eropah, Low berkata kenaikan iitu telah mengganggu sentimen pemulihan, terutama di Itali dan Jerman yang telah menguatkuasakan perintah sekatan pergerakan untuk mengekang penularan virus.

“Ini juga jelas bahawa vaksin tidak mencukupi dan ia sebenarnya mungkin mengambil masa 18 bulan lagi atau lebih untuk memastikan sebahagian besar penduduk di seluruh dunia mendapat suntikan vaksin.

“Perjalanan untuk mencapai status keimunan kelompok menjadi sukar dan panjang,” katanya.

Mengenai masalah bekalan, Low berkata bekalan getah masih boleh urus walaupun pokok getah kini mengalami musim daun luruh.

Tempoh musim daun pokok getah luruh dan diganti oleh pertumbuhan daun baharu adalah di antara Februari dengan Mei.

Dalam tempoh ini, metabolisme pokok dan pengeluaran susu getah amat terjejas.

Bagi dagangan yang berakhir minggu ini, pasaran getah tempatan amat dipengaruhi oleh pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah, kebimbangan mengenai peningkatan kes Covid-19 di Eropah serta hubungan perdagangan di antara Amerika Syarikat dengan China.

Berasaskan mingguan, harga rujukan bagi getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk SMR 20 susut 30 sen kepada 690.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal kurang empat sen kepada 678 sen sekilogram.

Pada 5 petang pada Jumaat, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 699 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 681 sen sekilogram.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Pasaran getah dijangka terus momentum positif

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan aliran peningkatannya minggu depan, didorong oleh unjuran kukuh pasaran niaga hadapan getah serantau serta sentimen ekonomi tempatan dan global yang mencatat prestasi lebih baik, kata peniaga.

Beliau memberitahu Bernama, sentimen pasaran niaga hadapan getah serantau itu semakin memberangsangkan selepas pengumuman mengenai bantuan kewangan tambahan dari China dan Kesatuan Eropah.

“Bank pusat China dilapor menyuntik sejumlah 150 bilion yuan (RM90.2 bilion) dalam sistem perbankan pada Jumaat menerusi perjanjian pembelian balik selama tujuh hari, di samping mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada 2.20 peratus.

“Bank pusat Eropah pula pada Khamis mengumumkan ia akan meningkatkan Program Pembelian Kecemasan Pandemik sebanyak 600 bilion euro (RM2.9 trilion) untuk merangsang ekonomi berikutan krisis Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkata permintaan getah dunia akan kembali mencatatkan pertumbuhan positif pada bulan ini dengan jangkaan penggunaan getah asli berkembang sebanyak 0.4 peratus selepas merosot pada April (-23.1 peratus) dan Mei 2020 (-10.1 peratus).

Dalam satu kenyataan semalam, LGM berkata permintaan dari China selaku pengguna terbesar getah asli dunia dijangka meningkat untuk menyokong perkembangan sektor automotif, manakala penjualan kenderaan pada April menokok 4.4 peratus tahun ke tahun selepas mencatatkan pertumbuhan negatif sejak 21 bulan sebelumnya.

“Situasi itu menggambarkan pasaran getah dijangka bergerak positif sejajar dengan peningkatan permintaan getah asli dunia memandangkan kebanyakan negara di dunia telah melonggarkan perintah berkurung dan membuka semula aktiviti ekonomi mereka secara berperingkat,” menurut LGM.

Pasaran getah akan ditutup pada Isnin bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan fizikal LGM bagi gred tayar SMR 20 melonjak 11 sen kepada 485.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal naik 21 sen kepada 471.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 naik 8.5 sen kepada 486.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal menambah 22.5 sen kepada 474 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Malaysia diunjur kuasai 65 peratus pasaran sarung tangan getah dunia

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Ahli-ahli ekonomi mengunjurkan Malaysia bakal menguasai 65 peratus bahagian pasaran sarung tangan getah dunia tahun ini meningkat tiga peratus daripada 62 peratus sekarang, kata ketua pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata ini berikutan jangkaan lonjakan permintaan terhadap sarung tangan getah perubatan susulan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Zairossani berkata dari segi impaknya kepada pendapatan negara, kenaikan tiga peratus itu berjumlah RM3 bilion tetapi ianya turut bergantung pada situasi Covid-19.

“Jika kita lihat industri getah terutamanya sektor sarung tangan, memang berkembang sejak tahun 80-an di Malaysia.

“Ianya berpunca kerana penyakit juga, iaitu HIV (Human Immunodeficiency Virus), virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan penyakiy AIDS (sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit).

“Dan daripada situlah sektor sarung tangan getah di Malaysia berkembang sehingga kini kita merupakan pengeluar terbesar di dunia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara kelolaan Bernama TV, yang membincangkan mengenai tajuk ‘Covid-19: Kesan Kepada Industri Getah dan Hala Tuju Seterusnya’.

Zairossani berkata apabila berdepan dengan sebarang pandemik, industri getah serta sektor yang berkaitan penjagaan perubatan adalah antara sektor yang akan mendapat manfaat, terutamanya sektor sarung tangan.

“Selain sarung tangan, kita ada juga menghasilkan kateter iaitu alat untuk pembedahan (yang memerlukan gantian getah),” katanya.

Menurutnya lagi, apabila industri getah Malaysia berdepan dengan situasi harga rendah, sektor sarung tangan menjadi penyelamat dengan sektor tersebut dijangkakan berkembang lima hingga 25 peratus, bergantung pada situasi Covid-19.

Pada 2019, sektor sarung tangan getah menyumbang RM17 bilion kepada pendapatan negara justeru Malaysia perlu memastikan industri ini kekal menjadi peneraju pasaran dunia, katanya.

Berkenaan harga getah yang rendah, Zairossani berkata fungsi kawalan harga getah bukan di bawah LGM, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ataupun mana-mana agensi yang terlibat namun ia dikawal oleh pasaran dunia.

”Secara umumnya kalau kita lihat sejarah industri getah, ianya akan turun naik, ini adalah kitarannya, dan jika waktu ketika ini, tahun 2020/21, ianya berada dalam kitaran rendah,” katanya.

Harga getah yang jatuh merundum daripada RM3.00 sekilogram beberapa tahun lepas kepada RM1.70 sekilogram ketika ini telah memberikan kesulitan kepada penoreh dan pekebun kecil.

Menurut Zairossani, ramai berpendapat bahawa industri getah adalah ‘sunset industry’ yang tidak akan kekal lama sama ada di bahagian huluan mahupun hiliran, tetapi tidak dapat disangkal bahawa sumbangan getah kepada eksport negara tetap meningkat dari tahun ke tahun.

Beliau berkata sejak tahun 1990 sehingga sekarang, industri getah kita berkembang lima hingga enam peratus setahun, dan ia adalah antara industri yang paling cepat berkembang di Malaysia.

“Jika kita lihat dari segi pengagihan kepada ekonomi negara, pada 1990 eksport kita adalah RM1.3 bilion dan eksport kita kini adalah RM31 bilion,” katanya.

Di peringkat global, beliau berkata, Malaysia hanya menguasai tiga peratus daripada nilai industri getah dunia dan berpendapat banyak lagi peluang untuk industri itu berkembang.

“Jadi untuk itu, kita harus pastikan pembangunan yang strategik dan industri getah serta pekebun kecil tidak boleh lagi bertindak menghasilkan getah cara seperti 20-30 tahun lepas,” ujarnya.

Zairossani berkata memandangkan tanah yang terhad pekebun kecil negara digesa untuk menggunakan teknologi kerana ia adalah cara yang paling baik untuk meningkatkan pengeluaran.

“Apabila kita tingkatkan pengeluaran, dan kualiti yang kita hendakkan, bukan sahaja pekebun kecil akan dapat faedah dari pendapatan yang meningkat, tetapi yang penting sekali produk getah yang kita hasilkan dapat menyokong keseluruhan industri kita.

“Saya yakin serta berpandangan jauh bahawa Malaysia ada masa depan yang cerah dalam industri getah,” katanya.

-BERNAMA