Categories
AGENDA SUKANKINI

Peluang Gergasi Merah cabar kejuaraan Liga Super masih ada

SHAH ALAM, 23 MAC: Pelantikan jurulatih import baharu dan tempoh persiapan singkat antara faktor permulaan hambar Selangor FC untuk saingan Liga Super 2021, kata pengurusnya.

Mahfizul Rusydin bagaimanapun berkata masih terlalu awal menolak peluang Gergasi Merah untuk mencabar kejuaran atau menduduki kelompok pasukan terbaik musim ini.

“Saingan liga baru masuk perlawanan kelima dan kita yakin Selangor FC mampu bangkit kerana pasukan ini memiliki pemain bagus di setiap posisi.

“Selain itu kita juga menayangkan rakaman perlawanan kepada pemain, perkara ini penting kerana mereka dapat menilai prestasi masing-masing,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Berhubung gesaan penyokong supaya merehatkan ketua jurulatih Karsten Neitzel, beliau berkata adalah tidak adil meletakkan kesalahan kepada individu tertentu kerana bola sepak adalah permainan berpasukan.

Selangor FC hanya mengutip lima mata hasil satu kemenangan serta masing-masing dua seri dan dua kekalahan selepas lima perlawanan.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melantik Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih. Beliau berpengalaman menguruskan Bochum VFL, SV Eleversberg serta membawa Holstein Kiel ke divisyen dua Liga Jerman.