Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor peruntuk RM5 juta Geran Padanan Digital bantu PKS

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Selangor memperuntuk RM5 juta bagi Geran Padanan Digital kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi pendigitalan perniagaan.

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menerusi kenyataan memaklumkan program itu bakal memberi manfaat kepada 1,000 PKS.

Jelasnya, antara kriteria yang melayakkan pembekal perkhidmatan digital memohon adalah pegangan milikan adalah 51 peratus warganegara Malaysia dan didaftarkan atau alamat milikan di Selangor.

“Penyedia penyelesaian digital turut dipelawa untuk mendaftar sebagai Penyedia Perkhidmatan Digital dan tarikh tutup permohonan adalah 5 April ini,” kata sekretariat geran padanan itu menerusi Facebook, hari ini.

Katanya, menerusi program itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan 50 peratus geran padanan atau maksimum RM5,000 kepada PKS untuk melanggan perkhidmatan digital dalam lima bidang digitalisasi ditawarkan.

“Lima bidang pendigitalan itu ialah e-dagang, sistem sumber manusia, sistem akaun, pemasaran digital dan sistem Electronic Point of Sale (E-PoS) dan gerbang pembayaran,” katanya.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi sidec.com.my/selangorsmegrant2021

Sumber: Tangkap layar sesawang Sidec