Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

JKNS kongsi panduan puasa pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 13 APRIL: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkongsi panduan berpuasa kepada pesakit Covid-19.

Jabatan memetik e-majalah MyHEALTH berkata pesakit boleh puasa seperti biasa mengikut kemampuan diri namun diharuskan berbuka jika tidak mampu meneruskan ibadah itu.

“Diharuskan tidak berpuasa bagi pesakit yang kritikal, berbuka atas nasihat doktor yang merawat, sekiranya puasa boleh melambatkan kesembuhan atau akan memudaratan keadaan pesakit.

“Ibadah puasa yang ditinggalkan hendaklah diganti semula setelah mereka sihat mengikut bilangan hari yang ditinggalkan,” katanya menerusi Facebook.

JKNS juga menasihati pesakit yang meninggalkan puasa memperbanyakkan ibadah sunat seperti solat terawih serta sunat, membaca al-Quran, berdoa dan bersedekah.