Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SOP baharu bazar Ramadan di Selangor mulai hari ini

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kerajaan Selangor menyelaras semula penguatkuasaan tatacara operasi piawaian (SOP) seluruh bazar Ramadan secara berperingkat mulai hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata setiap bazar akan menggunakan laluan sehala bagi mengelak kesesakan selain pelaksanaan sistem bernombor untuk pengunjung.

“Masa untuk pengunjung juga dihadkan. Langkah ini dibuat selepas kita membuat persampelan lima hari pertama bazar beroperasi.

“Taklimat baru pematuhan SOP ini sudah diberi kepada semua penganjur termasuk bazar Raya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi video di Facebook hari ini.

Menurutnya, berdasarkan laporan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, terdapat bazar yang tidak mampu mengawal pengunjung hingga bersentuh antara satu sama lain.

“Ada yang tidak imbas kod QR SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) atau MySejahtera. Tak beri laporan kehadiran malah membawa anak kecil kurang dari 12 tahun.

“Selepas ini jika langgar SOP lagi, kerajaan negeri menerusi PBT (pihak berkuasa tempatan) akan terus kenakan kompaun atau menutup terus operasi bazar,” katanya.

Bermula 14 April, kerajaan membenarkan datuk bandar, yang dipertua PBT dan pegawai penguat kuasa PBT Gred 19 ke atas mengeluarkan kompaun kepada pihak yang gagal mematuhi SOP bazar Ramadan.