Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Zakat Selangor kekal sasar kutipan RM875 juta tahun ini

SHAH ALAM, 9 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) kekal menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM875 juta tahun ini.

Ketua pegawai eksekutif berkata bagaimanapun angka tersebut mungkin berubah bergantung kepada situasi pandemik Covid-19.

“Tahun lalu kita berjaya kutip RM913 juta iaitu meningkat berbanding RM855 juta pada 2019.

“InsyaAllah, kita harap dengan adanya vaksin mana-mana perniagaan yang terjejas sebelum ini akan kembali pulih dan mungkin angka yang disasarkan berubah ikut keadaan,” kata Saipolyazan M Yusop.

Terdahulu, beliau menerima wang zakat Worldwide Holdings Berhad di Seksyen 13 di sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Pada majlis itu, Worldwide Holdings Berhad mengagihkan RM343,794 wang zakat yang akan memanfaatkan kira-kira 30 asnaf fakir miskin di Selangor.