Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jumlah kutipan zakat naik tahun lalu, sasar RM1 bilion pada 2022

SHAH ALAM, 4 FEB: Jumlah kutipan zakat di Selangor mencecah RM992 juta pada 2021, meningkat RM79 juta berbanding tahun sebelumnya, umum Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata jumlah agihan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut bertambah RM52 juta kepada RM919 juta pada tahun lalu.

“Kita sasarkan LZS mampu mencapai kutipan RM1 bilion tahun ini selepas kecemerlangan dipamerkan tahun lalu,” katanya menerusi ucapan Perutusan Pengerusi Mais baru-baru ini.

Abdul Aziz turut mengucapkan tahniah kepada agensi itu kerana berjaya merangkul anugerah antarabangsa sebagai The Best Company in Asia 2021.

Beliau berkata pengiktirafan dunia itu bukti kecemerlangan LZS sebagai agensi bawah Mais dan wajar dicontohi pihak lain bagi meningkatkan pencapaian.

“Insya-Allah dengan kejayaan itu saya yakin LZS mampu mencapai sasaran memberangsangkan pada tahun ini,” katanya lagi.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Zakat Selangor kekal sasar kutipan RM875 juta tahun ini

SHAH ALAM, 9 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) kekal menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM875 juta tahun ini.

Ketua pegawai eksekutif berkata bagaimanapun angka tersebut mungkin berubah bergantung kepada situasi pandemik Covid-19.

“Tahun lalu kita berjaya kutip RM913 juta iaitu meningkat berbanding RM855 juta pada 2019.

“InsyaAllah, kita harap dengan adanya vaksin mana-mana perniagaan yang terjejas sebelum ini akan kembali pulih dan mungkin angka yang disasarkan berubah ikut keadaan,” kata Saipolyazan M Yusop.

Terdahulu, beliau menerima wang zakat Worldwide Holdings Berhad di Seksyen 13 di sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Pada majlis itu, Worldwide Holdings Berhad mengagihkan RM343,794 wang zakat yang akan memanfaatkan kira-kira 30 asnaf fakir miskin di Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais pantau operasi LZS, pastikan tadbir urus telus

SHAH ALAM, 27 MEI: Semua operasi Lembaga Zakat Selangor (LZS) termasuk kutipan dan agihan diawasi serta dipantau secara langsung oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengikut ketetapan Majlis Fatwa Negeri Selangor.

LZS dalam kenyataan memaklumkan agensi tersebut turut dipantau Firma Audit Antarabangsa, audit negara, audit Sirim, audit Mais juga audit dalaman.

“Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS serta 14 jawatankuasa turut dibentuk dan diwakili tokoh masyarakat, pakar dan individu yang mempunyai kredibiliti sesuai dengan pengalaman mereka untuk memastikan tadbir urus Zakat Selangor kekal telus dan efisien.

“Setiap wang yang dikutip dan diagihkan juga disiarkan di media utama dan media sosial bagi memastikan semua aspek pengurusan kutipan serta agihan zakat dilaksanakan dengan baik bagi pembangunan ummah,” katanya di Facebook.

Kenyataan itu susulan pandangan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 2016 berhubung pengurusan wang zakat kurang efektif, yang tular semula di media sosial.

Sementara itu, LZS menjelaskan pihaknya sentiasa komited memberi perkhidmatan kepada umat Islam dengan penuh integriti dan profesionalisme, selain membangunkan asnaf di negeri ini.

“Sepanjang 25 tahun menguruskan zakat, pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan untuk membantu mereka yang layak di bawah kategori asnaf yang ditetapkan oleh maqasid syariah.

“Sehingga kini, lebih 172 skim bantuan disalurkan kepada lapan kategori asnaf seperti ditetapkan di dalam al-Quran,” jelasnya.

Categories
SELANGOR

LZS kutip zakat RM794 juta pada 2018

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 24 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatatkan jumlah kutipan zakat RM794 juta, berbanding RM757 juta, pada tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, peningkatan itu diperoleh hasil kerjasama erat dan komitmen ejen kutipan serta penolong amil LZS.

Katanya, hasil itu berjaya membela nasib lebih 54,000 keluarga asnaf, fakir dan miskin termasuk 5,000 saudara mualaf baharu berdaftar, di Selangor.

“Kami telus dengan setiap wang diagih dan disalurkan yang menjadi bukti kepada masyarakat bahawa duit itu diuruskan secara amanah serta berintergriti.

“Antara yang disalurkan adalah bantuan kewangan dan bulanan asnaf fakir, miskin dan mualaf (RM123.6 juta), bantuan keperluan pendidikan dan yuran persekolahan asnaf fakir dan miskin (RM72.2 juta) serta bantuan umum pelajaran, biasiswa pelajaran, dermasiswa mualaf dan sumbangan pendidikan OKU asnaf fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah ((RM59.4),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penghargaan Lembaga Zakat Selangor 2018 di Dewan Orkid Wisma PKPS, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Profesor Emeritus Muhammad Awang dan Jawatankuasa Operasi Kutipan LZS, Dato’ Syed Ghazali Wafa Syed Adhwam Wafa.

Mengulas sasaran kutipan zakat pada 2019, Abdul Basith berkata, LZS menyasarkan RM840 juta bagi menyantuni golongan asnaf di Selangor.

“Walaupun kita menyasarkan jumlah ini, namun keperluan sebenar asnaf di Selangor adalah RM900 juta berdasarkan kaji selidik dilakukan.

“Ini adalah tanggungjawab kami membantu asnaf, mungkin rakyat beranggapan agihan ini terlalu banyak dan diberikan kepada negeri lain, tetapi sebenarnya keperluan di Selangor terlalu tinggi.

“Pada masa sama, jumlah sasaran menjadi salah satu cabaran besar ekoran faktor peningkatan ekonomi dan persepsi masyarakat,” katanya.

‘Tak guna hasil kutipan zakat tinggi, tapi rakyat menderita’


MB : Jangan bangga hasil kutipan zakat tinggi jika ia tidak mampu mengupayakan umat Islam terutama golongan asnaf.