Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Elak terjebak rasuah, MBPJ tapis ketat calon penjawat awam

SHAH ALAM, 4 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menapis ketat calon penjawat awam baharu bagi mencegah gejala rasuah dan jenayah.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata individu yang dilantik kemudian wajib menghadiri kursus yang menekankan aspek kerja dan jati diri.

“Seseorang penjawat awam yang diamanahkan kuasa dan tanggungjawab perlu bertindak secara telus
dengan mematuhi proses atau tatacara undang-undang ditetapkan,” katanya dalam perutusan pada 27 April.

Beliau menegaskan MBPJ tidak berkompromi terhadap kakitangan terlibat rasuah dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika ada yang disabitkan dengan gejala itu.

“Tindakan tegas akan diambil termasuk menamatkan khidmat mereka yang didapati terbabit dan bersalah dalam jenayah, rasuah, salah laku yang serius dan kes berulang,” kata Mohd Sayuthi.

Menurut statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia antara 2015 hingga 2020, sebanyak 2,683 daripada 5,652 tangkapan rasuah membabitkan penjawat awam.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah dunia bagi tahun 2020 jatuh pada kedudukan 57 daripada 180 negara, berbanding tangga 51 pada 2019.