Categories
AGENSI SELANGOR

Gagal sedia alat sukat suhu, 13 peniaga pasar dikompaun

SHAH ALAM, 22 MEI: Seramai 13 peniaga Pasar Pagi Jalan Margoda, Sri Damansara dikompaun semalam kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) perintah kawalan.

Ketua polis Petaling Jaya berkata peniaga terbabit gagal menyediakan pengimbas kod QR MySejahtera dan alat penyukat suhu pelanggan, lapor Harian Metro.

“Polis turut mengeluarkan kompaun kepada dua pengunjung kerana tidak mengimbas dan mendaftar masuk MySejahtera. Operasi dijalankan bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bermula jam 7 pagi,” kata Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Beliau berkata MBPJ turut mengeluarkan saman terhadap 30 peniaga kerana tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah selain menyita barang perniagaan milik seorang warga asing.

“Orang ramai termasuk peniaga diingatkan supaya mematuhi SOP ditetapkan kerajaan bagi mengelakkan tindakan diambil terhadap mereka,” kata Mohamad Fakhrudin.