Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB puji proses beri vaksin lancar, yakin lebih ramai terima suntikan

SHAH ALAM, 25 MEI: Dato’ Menteri Besar berpuas hati dengan kelancaran proses suntikan serta sambutan orang ramai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pusat berkenaan mampu menyuntik 3,000 dos vaksin sehari namun berdasarkan pemerhatiannya, mungkin jumlah lebih tinggi mampu diperoleh.

Orang ramai menerima suntikan dos pertama vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada 25 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Jumlah penerima harian mungkin boleh ditambah. Kita bukan kejar angka tetapi kelancaran ini mungkin boleh mempercepatkan proses imunisasi.

“Lokasi strategik serta kemudahan yang ada dalam bangunan ini juga memudahkan orang awam berurusan,” katanya selepas meninjau pusat berkenaan hari ini.

Amirudin berkata kerjasama erat antara jabatan kerajaan serta Kerajaan Negeri juga membantu kelancaran proses vaksinasi berkenaan.

“Kita harap momentum ini dikekalkan hingga hujung tahun supaya lebih ramai dapat divaksin,” katanya.

Terdahulu, beliau turut beramah mesra dengan petugas serta orang awam yang datang menerima suntikan.