Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Nostalgia raya di desa, sambutan penuh meriah

TIAP kali Syawal menjelma, rumah pusaka tinggalan ibu bapa yang didiami Mardiana Abdullah, 37, riuh rendah dengan kehadiran sanak keluarga.

Dengan bilangan 11 beradik, ditambah anak saudara yang berbelas-belas, pelbagai ragam dan keletah berlaku sepanjang mereka berkumpul.

Memang menjadi tradisi untuk sembilan adik beradiknya yang tinggal di luar Pahang pulang merai Aidilfitri setiap tahun di rumah pusaka itu.

Ia menjadi rutin tidak boleh tidak sejak ibu bapa mereka, Abdullah Ibrahim dan Salmah Ismail, meninggal dunia pada 2008 serta 2011. Menjadi kelaziman adik beradik di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pulang ke rumah pusaka itu.

Menjelang Aidilfitri, semua adik-beradik termasuk ipar duai berhimpun. Mereka bergotong-royong. Ada yang mengemas, ada yang memasak. Riuh rendah suara memenuhi rumah.

Menu wajib setiap tahun adalah rendang ayam atau rendang daging dan kuah kacang untuk digandingkan bersama ketupat, nasi impit serta lemang. Belum ditambah menu sampingan seperti laksa dan bihun sup yang memenuhi meja buat menjamu tetamu.

Paling sibuk selepas berbuka puasa pada malam 1 Syawal kerana itulah saat akhir untuk mereka membuat persiapan akhir sebelum menyambut tetamu keesokannya.

Yang tua sibuk di dapur manakala anak kecil berlari bermain bunga api. Halaman rumah turut dihias indah. Pelita disusun mengerdip suasana malam.

Santak ke pagi

Mereka melakukan kerja sambil bergebang, berkongsi cerita itu ini santak ke pagi. Habis kisah masa kecil dikenang, dari cerita manis atau pahit sekalipun. Sesekali ketawa berderai.

Yang pasti, abang keduanya Hairy paling terakhir melelapkan mata. Beliau bertanggungjawab menjaga ketupat dan nasi impit. Adakalanya sampai jam 5 pagi.

Ruang tamu tempat mereka berehat. Tidur bersepah di setiap sudut. Bergelimpangan antara satu sama lain. Ada berbantal, ada hanya berselimut di lantai. Kedudukan juga tidak tersusun. Namun, itu bukan masalah sebaliknya kebahagiaan begitu terasa.

Mardiana Abdullah

“Walaupun berselerak dan kelihatan tidak selesa, namun itu antara momen indah yang sukar dilupakan,” kata Mardiana kepada Selangorkini baru-baru ini.

Usai Subuh pagi Syawal, ‘drama’ berebut bilik air pasti berlaku. Tidak kira tua muda, satu bilik air pasti direbut hingga kaedah nombor penggiliran terpaksa dibuat.

Selepas solat sunat Aidilfitri, mereka saling bermaafan. Yang sulung mengetuai, pengganti ibu bapa yang telah pergi. Bagi kanak-kanak, itulah saat paling dinanti – sesi pemberian duit raya.

Menjadi kewajipan mereka mengenakan baju warna sedondon di pagi Aidilfitri. Pemilihan warna dibuat sepakat meski fesyennya berbeza-beza.

Acara wajib pastinya mengabdikan foto kenangan. Bergaya dengan pelbagai aksi walau hanya berlatar belakang suasana desa.

Hampir keseluruhan keluarga besar itu minat menyanyi. Pada malam raya mereka mengadakan karaoke selain menghabiskan sesi malam dengan aktiviti BBQ, membakar ayam dan ikan.

“Ini acara kemuncak keluarga kami. Walau hanya pertandingan antara adik beradik, kami tetap sediakan hadiah sebagai sokongan antara satu sama lain.

“Lagu dikumandang bukan hanya lagu raya. Semua irama dinyanyikan, konon tunjuk kehebatan vokal masing-masing,” kata suri rumah itu sedikit tertawa.

Sambutan Syawal juga dimeriahi dengan permainan sampul raya bertuah. Seorang dari mereka akan menerima duit raya dengan nilai tertinggi.

“Kami diberi pilihan ambil sampul raya yang sudah diletakkan sejumlah wang. Lepas ambil sampul itu, pasti suasana gamat dengan sorakan kerana semua mahu tahu nilai duit raya yang diterima.

“Yang bertuah akan terima duit raya terbanyak. Acara itu bukan sahaja membuatkan rumah menjadi riuh malah hubungan kami semakin erat” katanya.

Sekatan PKP

Namun, kemeriahan itu tidak dapat diteruskan tahun lalu. Barangkali juga tahun ini. Penularan wabak Covid-19 pada awal 2020 menyebabkan pergerakan rentas negeri disekat melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Kali ini, anak keenam itu hanya beraya bersama suami Azman Jamaluddin, 40, dan adik bongsu, Mohd Fahmi, 24, yang turut menetap di rumah pusaka itu.

Sama sekali berbeza. Raya dirai secara sederhana. Pagi Syawal jadi begitu hambar. Tiada menu istimewa, tiada lagi baju raya sedondon.Tiada sesi bermaafan, bergambar apatah lagi.

“Terngiang-ngiang suara anak-anak buah berlari bermain mercun. Suara mereka meminta duit raya.

“Dapur sunyi. Hanya saya seorang. Kalau tidak, kami semua akan berbual hingga jam dua tiga pagi,” keluhnya.

Tahun lalu, mereka menyambut raya bersama adik beradik hanya melalui panggilan video telefon bimbit. Dapatlah menatap wajah, mendengar suara paling tidak.

Kerinduan itu hanya benar-benar terubat apabila sambutan Aidiladha pada Jun tahun lalu lantaran pergerakan rentas negeri dibenarkan.

Mereka berharap sambutan kali ini kembali meriah. Tiada lagi halangan untuk rentas negeri. Meski sedar kemungkinan itu tipis ekoran peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini, mereka berharap nostalgia beraya di desa, di rumah pusaka bukan lagi angan-angan.