Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan jarak jauh dilarang rentas daerah, negeri

SHAH ALAM, 30 MEI: Kerajaan tidak membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri membabitkan pasangan jarak jauh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Selasa ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasangan terbabit terpaksa ‘berkorban’ selama dua minggu bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Manakala, pihak yang telah mendapat surat kebenaran rentas negeri dan daerah sebelum ini tidak akan terpakai bermula Selasa ini.

“Kebenaran akan ditamatkan pada esok dan kementerian akan mengeluarkan surat baharu berkaitan bekerja.

“Bagaimanapun, kita membenarkan rentas negeri membabitkan kes berkaitan kes kecemasan seperti kematian, keluarga sakit, nazak dan sebagainya dengan kebenaran polis,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Beliau juga menjelaskan hanya ada dua sumber yang berhak mengeluarkan surat kebenaran rentas negeri dan daerah iaitu kementerian yang berkaitan dengan bidang kerja serta polis.