Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri, daerah masih dilarang kecuali tujuan dibenarkan

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Perjalanan rentas negeri dan daerah masih dilarang bagi negeri yang berada di Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecuali untuk tujuan yang dibenarkan termasuk bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata individu yang mahu merentas negeri dan daerah bagi tujuan vaksinasi perlu menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 dan mesej daripada khidmat pesanan ringkas.

“Hanya dua orang wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan asas dalam lingkungan 10 kilometer radius daripada kediaman, manakala untuk mendapatkan rawatan perubatan dan vaksinasi hanya tiga orang termasuk pesakit dibenarkan bagi tujuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penganjuran aktiviti sosial yang menyebabkan kehadiran ramai orang dan menyukarkan penjarakan fizikal juga masih dilarang.

“Masyarakat diharap untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara agar jangkitan Covid-19 dapat dilandaikan. Usaha dan kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam menjayakan PPN,” katanya.

Acryl Sani berkata pihaknya kekal komited dan akan terus memantau pematuhan SOP demi keselamatan masyarakat dan mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan dan SOP yang ditetapkan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Polis lulus 12,000 permohonan rentas daerah, negeri sehari

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meluluskan 12,000 permohonan rentas daerah dan negeri setiap hari sejak penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan 1 Jun lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata permohonan rentas daerah dan negeri yang diluluskan itu adalah bagi permohonan melibatkan kematian, kecemasan dan pemohon yang bekerja sendiri.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata PDRM juga menutup 118 jalan kecil yang sebelum ini digunakan orang awam sebagai jalan alternatif untuk merentas daerah dan negeri di seluruh negara.

“Tinjauan di lebuh raya utama di seluruh negara juga mendapati kadar aliran kenderaan menurun kepada sekitar 500,000 kenderaan sehari berbanding 1.3 juta kenderaan sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dikuatkuasakan,” katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan kira-kira 85,000 pemeriksaan harian dilaksanakan PDRM dan agensi berkaitan sejak 1 Jun selaras pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Beliau berkata hampir 35,000 premis diperiksa termasuk pasar raya, restoran, kilang dan tempat-tempat yang dibenar beroperasi di seluruh negara.

Hamzah berkata sebanyak 3,514 kompaun dikeluarkan termasuk 117 dikenakan terhadap perbadanan atau syarikat dan 163 tangkapan dilakukan atas kesalahan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh 1 Jun sehingga 4 Jun.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasangan jarak jauh dilarang rentas daerah, negeri

SHAH ALAM, 30 MEI: Kerajaan tidak membenarkan aktiviti rentas daerah dan negeri membabitkan pasangan jarak jauh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Selasa ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pasangan terbabit terpaksa ‘berkorban’ selama dua minggu bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Manakala, pihak yang telah mendapat surat kebenaran rentas negeri dan daerah sebelum ini tidak akan terpakai bermula Selasa ini.

“Kebenaran akan ditamatkan pada esok dan kementerian akan mengeluarkan surat baharu berkaitan bekerja.

“Bagaimanapun, kita membenarkan rentas negeri membabitkan kes berkaitan kes kecemasan seperti kematian, keluarga sakit, nazak dan sebagainya dengan kebenaran polis,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Beliau juga menjelaskan hanya ada dua sumber yang berhak mengeluarkan surat kebenaran rentas negeri dan daerah iaitu kementerian yang berkaitan dengan bidang kerja serta polis.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Rentas daerah, negeri seluruh negara dilarang hingga 6 Jun

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Berkuatkuasa Isnin ini, semua aktiviti rentas negeri dan daerah di seluruh negara tidak dibenarkan tanpa kebenaran PDRM, demikian diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penguatkuasaan itu meliputi kesemua negeri yang berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Pemulihan (PKPP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Diperketatkan (PKPD), selama empat minggu sehingga 6 Jun.

“Antara aktiviti lain tidak dibenarkan (dalam tempoh itu) adalah aktiviti sosial termasuk majlis-majlis kenduri, perkahwinan, keraian dan lain-lain; aktiviti pendidikan dan aktiviti ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Selain itu turut tidak dibenarkan ialah majlis rasmi dan sosial secara bersemuka oleh kerajaan dan swasta.

Ismail Sabri berkata keputusan sekatan ini akan disemak semula selepas dua minggu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP Aidilfitri, rentas daerah diumum minggu depan

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan dijangka memutuskan beberapa perkara berkaitan sambutan Hari Raya antaranya tatacara operasi piawai (SOP) Aidilfitri dan rentas daerah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata SOP yang bakal dikeluarkan itu berdasarkan nasihat dan cadangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hari ini Jawatankuasa Teknikal akan berbincang, kemudian ia akan dibentangkan dalam sidang khas MKN pada Isnin ini yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selepas ia dibentangkan (sidang khas MKN) barulah kami boleh memutuskan sebarang keputusan dan kami akan mendengar pembentangan KKM mengenai nasihat yang akan diberikan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Program e-Bakat antara Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) bersama Mgate Emerging Technologies Sdn Bhd dan HRD Corp di Kem Kementah, di sini hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar larangan rentas negeri, daerah meningkat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Biarpun rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, masih ada dalam kalangan rakyat negara ini yang berdegil apabila jumlah mereka ditahan kerana kesalahan itu meningkat kepada 66 individu semalam daripada 32 orang dua hari lepas.

Memasuki hari kelima PKP, kesalahan itu menjadi antara kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) PKP tertinggi dilaporkan selepas tidak memakai pelitup muka yang merekodkan seramai 200 individu, manakala gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (147).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah 608 individu yang ditahan kerana ingkar PKP semalam, seramai 580 dikompaun, 27 direman dan satu dijamin.

“Selain itu, individu ditahan kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (46), premis beroperasi lebih masa (42), aktiviti pusat hiburan (11) dan lain-lain (96),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan mengumumkan larangan merentas negeri di seluruh negara bermula Rabu lepas sepanjang pelaksanaan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) mengikut negeri sehingga 26 Jan ini.

Ismail Sabri turut memaklumkan menerusi Op Benteng, seramai 17 pendatang asing dan dua tekong berjaya ditahan manakala tujuh kenderaan dirampas semalam, selain 415 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata seramai 105,849 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan daripada jumlah itu, 8,541 sedang menjalani kuarantin wajib manakala 540 dihantar ke hospital untuk rawatan.

Mengenai barang keperluan asas, beliau berkata penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 811 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan, semalam.

Secara keseluruhan, beliau berkata bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga melakukan 1,166 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKP Pemulihan. Daripada jumlah itu, 1,161 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala lima premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP,” katanya.

-BERNAMA