Categories
AGENSI SELANGOR

STFC syor guna kaedah FTTIS kekang penularan Covid-19

SHAH ALAM, 24 MEI: Kerajaan disaran menggunakan kaedah FTTIS (cari, uji, kesan, asing, sokong) yang digunakan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kaedah yang digunakan menerusi Saringan Komuniti itu disarankan memandangkan wabak semakin tidak terkawal dan jumlah kes kian meningkat.

“STFC syorkan supaya dilaksana FTTIS ‘Mass Testing’ memandangkan pandemik semakin tidak terkawal dengan kaedah yang lebih pantas.

“Selain itu, guna pakai sepenuhnya aplikasi digital dalam mengesan dan memantau pesakit dalam kuarantin, termasuk di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC),” katanya menerusi segmen ‘Anda Tanya, Dr Dzul Jawab’ di Facebook.

Beliau juga menyeru kerajaan pertingkatkan jumlah penerima vaksin di Selangor selain menambah jumlah tenaga kerja, fasiliti kesihatan Kementerian kesihatan untuk menampung peningkatan kes wabak.

“Kurangkan birokrasi kerja sedia ada supaya usaha pencegahan lebih pantas dan tumpuan diberikan kepada pesakit dan bukan kepada kertas kerja. Libatkan juga kolaborasi dengan penjagaan kesihatan swasta secara optimum,” katanya.