Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN: Selangor lebih awal laksana sistem FTTIS

SHAH ALAM, 13 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor berkata negeri itu lebih awal melaksanakan sistem FTTIS (kenal pasti, uji, kesan, kuarantin dan sokong) yang bakal dilaksanakan kerajaan persekutuan bagi mengawal penularan Covid-19.

Pengarahnya berkata Kerajaan Negeri lebih awal menyahut tuntutan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam melaksanakan sistem berkenaan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), lapor Malaysia Gazette.

Azli Yusof menjelaskan walaupun agak terlewat, pihaknya menyambut baik langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu yang terbukti banyak membantu mengawal penularan wabak khususnya di Selangor.

“Data dan maklumat diperolehi FTTIS sangat berguna untuk mengenalpasti dan mengawal penularan wabak secara bersasar dan berkesan.

“Ia juga membolehkan kerajaan negeri melaksanakan program pemberian vaksin secara menyeluruh melalui program Vaksinasi Selangor (Selvax) kepada rakyat Selangor sekali gus membantu kerajaan persekutuan mencapai sasaran imuniti kelompok dengan kadar segera,” katanya.

Azli menambah Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) yang terdiri dari pakar perubatan berkaitan telah lama mendesak, memberi nasihat dan advokasi agar KKM memberi keutamaan dalam melaksanakan FTTIS dengan kadar segara.

Ahad lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM bakal melaksanakan sistem yang dapat digunakan sepenuhnya dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Katanya, sistem yang dituntut WHO itu akan mengurangkan masa antara mereka yang didapati positif Covid-19 sehinggalah menerima rawatan atau pemantauan daripada KKM.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

STFC: Saringan bersasar diterus meski kadar vaksin cecah 90 peratus

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Saringan Covid-19 secara bersasar tetap diteruskan di Selangor meskipun kadar vaksin penuh penduduk dewasa negara mencecah 90 peratus.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah pengesanan wabak memfokuskan kawasan yang mencatatkan jangkitan tinggi.

“Kaedah FTTIS (kenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan) perlu digerakkan ke kawasan sasaran. Contohnya berlaku di tempat kerja atau sekolah, jadi kita akan kesan di situ.

“Kena ingat vaksin bukan peluru hapuskan Covid-19. Jangan harapkan vaksin sahaja kerana kita hidup dengan varian Delta, jadi perlu bertindak awal sebelum berlaku keadaan lebih teruk,” katanya.

Mantan menteri kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor ditemui pada Program Clean & Clear Beach Cleanup @Pantai Remis anjuran Team Selangor.

Setakat semalam seramai 20,317,843 individu atau 86.8 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

Susulan itu, kelonggaran rentas negeri semakin hampir apabila negara hanya memerlukan 3.2 peratus saja lagi untuk mencecah angka 90 peratus.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kebenaran rentas negeri apabila kasar vaksin dewasa mencapai 90 peratus berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

Categories
AGENSI SELANGOR

STFC syor guna kaedah FTTIS kekang penularan Covid-19

SHAH ALAM, 24 MEI: Kerajaan disaran menggunakan kaedah FTTIS (cari, uji, kesan, asing, sokong) yang digunakan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kaedah yang digunakan menerusi Saringan Komuniti itu disarankan memandangkan wabak semakin tidak terkawal dan jumlah kes kian meningkat.

“STFC syorkan supaya dilaksana FTTIS ‘Mass Testing’ memandangkan pandemik semakin tidak terkawal dengan kaedah yang lebih pantas.

“Selain itu, guna pakai sepenuhnya aplikasi digital dalam mengesan dan memantau pesakit dalam kuarantin, termasuk di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC),” katanya menerusi segmen ‘Anda Tanya, Dr Dzul Jawab’ di Facebook.

Beliau juga menyeru kerajaan pertingkatkan jumlah penerima vaksin di Selangor selain menambah jumlah tenaga kerja, fasiliti kesihatan Kementerian kesihatan untuk menampung peningkatan kes wabak.

“Kurangkan birokrasi kerja sedia ada supaya usaha pencegahan lebih pantas dan tumpuan diberikan kepada pesakit dan bukan kepada kertas kerja. Libatkan juga kolaborasi dengan penjagaan kesihatan swasta secara optimum,” katanya.