Categories
BUDAYA RENCANA

Syampu

Oleh Muhammad Fareed

Ilustrasi Matarojit

DI HADAPAN cermin bilik air, Mia membelai-belai rambut ikalnya sambil sesekali mengerling botol-botol syampu di atas rak yang melekat pada dinding. Berlainan jenama, formulasi yang sama. Semuanya untuk menjadikan rambut lurus, lembut dan mudah diurus. 

Jantan semua sama, rungut hatinya tatkala jari tersekat di celah kekusutan rambut. Memang tak boleh harap.

Kekusutan rambut dileraikan dengan beberapa kali rentapan. Botol-botol syampu kemudiannya disusun rapat. Menambah ruang untuk tiga biji botol lagi. Hari ni tambah lagi sebotol, bisik hati Mia. Dia harap tidak akan terus bertambah sehingga melebihi ruang sedia ada. 

Mirul, teman lelaki Mia, tiba di rumah seperti waktu yang dijanjikan—lebih kurang jam sepuluh pagi. 

“Kenapa ajak keluar pagi-pagi ni?” tanya Mirul selepas Mia masuk ke dalam kereta. 

Mia membalas dengan nada sinis. “Kenapa? Tak boleh ke?”

“Bukan tak boleh. Tapi kita tak pernah keluar pagi-pagi macam ni. Kita nak pergi mana sebenarnya ni?”

“Saya dah cakap semalam, kan? Saya nak buat kejutan.”

“Kejutan apa?”

“Mana boleh bagitau.” Mia menjeling tajam. “Bukan kejutan lah nanti.”

Dari lebuh raya berlatarkan belantara konkrit, kereta mereka meluncur masuk ke jalan raya satu lorong yang dikelilingi pepohonan hijau. Sepanjang perjalanan, Mirul hanya mendiamkan diri. Mia pula tidak henti-henti bercerita tentang kenangan mereka sejak mula berkenalan. 

Mirul yang mendekati Mia dahulu. Ketika itu, Mia baru mula bekerja sebagai penjaga kaunter di 7-Eleven. Mirul pula selalu ke 7-Eleven itu untuk membeli roti. Dia mula jatuh hati kepada Mia sejak kali pertama bertemu. Namun dia tidak pernah yakin untuk tampil meminta nombor telefon atau mengajak gadis itu menonton wayang. Kalau bukan sebab bantuan rakan sekerja Mia, sudah tentu hingga sekarang pun Mirul masih teruja untuk ke 7-Eleven itu membeli roti.

“Ingat lagi tak janji awak masa kita bercuti dekat Langkawi dulu?” tanya Mia.

Sinar mentari yang ditapis rimbunan daun kini mula melimpah. Laut terhampar luas di sebelah kiri jalan. Ombak dihempas lemah ke persisiran pantai. Pemandangan itu mengingatkan Mirul akan memori mereka ketika di Langkawi. Berkejaran di tepi pantai, berteriak girang di atas banana boat, melihat ikan berwarna-warni ketika snorkeling, berswafoto di dalam kereta kabel dan berpelukan di atas katil hotel.

“Awak dah lupa ke?” Mia bertanya lagi. “Malam pertama kita dekat sana.”

Fikiran Mirul bagai direnjat elektrik. Cebisan memori mula bercantum. Malam itu, mereka berdakapan di bawah selimut. Mirul leka mengelus rambut Mia. Dan Mia pula tunak merenung langit malam lewat pintu kaca balkoni. Mia bertanya sama ada Mirul benar-benar mencintainya. Ya, kata Mirul. Malah, dia turut berjanji tidak akan mendua atau meninggalkan Mia.

Mirul sedang menyusun jawapan ketika Mia memintanya memberhentikan kereta di bahu jalan. “Kita dah nak sampai,” kata Mia. Tapi mereka tidak boleh ke ‘sana’ dengan kereta. Jadi mereka turun dan berjalan di persisiran pantai. 

“Awak ingat lagi tak,” ujar Mia, “apa cita-cita saya?”

“Ingat. Awak nak buat bisnes macam Neelofa, kan? Tapi, awak tak nak jual tudung. Awak kata, awak nak jual syampu sebab—”

“Tak sangka,” celah Mia, mata terbuntang, “ada juga benda yang awak ingat.”

Mirul menghentikan langkah. Mia melangkah dua-tiga tapak sebelum turut berhenti. Dia menoleh dan mengangkat kening sebagai tanda musykil.

“Mia,” ujar Mirul, dapat menghidu sesuatu, “sebenarnya kita nak pergi mana ni?”

Mia tertawa kecil seraya mendekati Mirul. Tangan lelaki itu digenggam. “Babe, kan I dah kata. Surprise.”

Fine.”

Di penghujung pantai, mereka mendaki sebuah anak bukit lalu menemukan sebuah gudang kecil dan usang. Ketika Mirul sedang memerhatikan semak-samun di sekeliling, Mia mara ke hadapan pintu dan membuka mangga yang mengunci lilitan rantai gergasi. Sejurus rantai dileraikan, pintu dibuka sedikit dan Mirul dipelawa masuk.  

Tidak seperti di luar, Mirul terlongo melihat keadaan di bahagian dalam gudang itu. Terdapat beberapa mesin yang disambungkan melalui konveyor. Kelihatan baru dan tidak dilitupi habuk.

“Sekarang saya dah faham,” ujar Mirul, dapat menangkap sesuatu. “Ini mesti kilang untuk buat syampu, kan?”

“Lebih kuranglah.” Mia tertawa kecil. “Anyway, boleh tolong hidupkan suis warna merah dekat tepi pintu tu?”

Mirul hanya menurut. Sebaik saja suis dipetik, tubuhnya bergetar dan pandangan terus bertukar gelap. 

***

“Dah bangun?” 

Mirul disapa sejurus membuka mata. Di sisinya, Mia sedang berdiri sambil melihat skrin telefon. Mirul memerhati sekeliling. Keadaan sama seperti tadi. Cuma kali ini, dia terbaring di atas konveyor. Selepas beberapa kali cuba menggerakkan tangan, baru dia sedar bahawa tangan dan kakinya terikat di atas konveyor itu.    

“Stella…” ujar Mia, mata masih pada skrin telefon. “Sedap nama. Mesti cantik, kan?”

Mirul tergemap seketika. Mata disorot ke telefon di tangan Mia. Tubuhnya tiba-tiba terasa hangat apabila sedar bahawa itu adalah telefonnya.

“Mia…” Mirul menyapa lembut. “Saya boleh terangkan.”

Mia tertawa kecil dan menjeling sinis. “Tak apa. Aku dah tahu semuanya.”

“Mia…”

Mia menekan butang pada panel di tepi konveyor. Bersama bunyi mesin, konveyor itu mula bergerak. Mirul meminta maaf dan merayu untuk dilepaskan. “Saya boleh terangkan,” ulangnya berkali-kali. Namun Mia hanya mendiamkan diri; masih melihat skrin telefon dengan wajah lugu.  

***

Cahaya putih memenuhi ruang bilik air. Pintu dibuka. Mia melangkah masuk bersama sebiji botol syampu berwarna kuning. Pada botol syampu itu tertulis: untuk menjadikan rambut lurus, lembut dan lebih mudah diurus. Botol syampu itu diletakkan bersama botol-botol syampu lain di atas rak. Sambil tersenyum sinis di hadapan cermin, Mia membelai-belai rambutnya. Tatkala jari tersekat di celah kekusutan rambut, terdengar suara sayup-sayup memanggil. 

“Mia! Mia! Aku boleh hilang rambut kusut tu.”