Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kompromi salah guna, palsukan dokumen rentas negeri

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalah guna dan memalsukan dokumen kebenaran rentas negeri dan daerah serta melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM akan mengambil tindakan tegas selaras peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini, PDRM mengesan segelintir masyarakat yang berbuat demikian dengan melanggar SOP semasa merentas daerah dan negeri.

“Dalam usaha melaksanakan ketetapan kerajaan untuk terus mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat, PDRM akan terus mengawasi serta mengehadkan pergerakan terutamanya melibatkan rentas daerah dan negeri.

“PDRM juga akan lebih teliti dalam mempertimbangkan kelulusan kebenaran rentas daerah dan negeri yang dipohon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata orang ramai dinasihat untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan dan bersama-sama memainkan peranan dalam mengekang penularan wabak itu.

-BERNAMA