Categories
AGENDA SUKANKINI

`Damok’ berlatih di Litar Lumba Rakyat, Kuala Selangor sejak umur 15 tahun

SHAH ALAM, 14 JUN: Siapa sangka di sebalik kejayaan Syarifuddin Azman menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol semalam, bakatnya mula diasah di Litar Lumba Rakyat, Kuala Selangor yang dibangunkan Kerajaan Negeri.

Bapanya, Azman Amir, 47, berkata anaknya dikenali panggilan ‘Damok’ berlatih di litar itu sejak berusia 15 tahun serta berulang alik dari kediaman di Taman Putra Perdana, Puchong sejauh 170 kilometer (km) hampir setiap hari.

Ketika hendak berlatih di situ, beliau ‘menebalkan muka’ bertemu beberapa jurulatih termasuk Asmawi Askor supaya melatih anaknya menjadi pelumba profesional kerana yakin bakat yang ada.

“Di situ Damok belajar selok belok menunggang motosikal dengan betul, bukan mudah menguasai litar itu namun dia berjaya hasil tunjuk ajar jurulatih.

“Litar itu memang sesuai melatih teknik serta ketahanan fizikal pelumba, kami hargai usaha Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan seumpama itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azman berkata, keluarganya berbangga kejayaan di peringkat antarabangsa dikecapi anak kedua daripada enam beradik itu yang kini berusia 20 tahun.

“Kami akan terus memberikan sokongan kepada Damok bagi meneruskan perjuangannya dalam sukan permotoran,” katanya.

Semalam, Syarifuddin yang membesar di Puchong mengharumkan nama Malaysia selepas muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya.

Syarifuddin yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat.