Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Daftar rebat pengangkutan ke pusat vaksin bermula 20 Jun

SHAH ALAM, 14 JUN: Pendaftaran rebat RM20 untuk menggunakan perkhidmatan e-panggilan Grab ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melalui Platform Selangor (PLATS) akan bermula 20 Jun ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menjelaskan keutamaan diberikan kepada warga negeri ini yang berusia 50 tahun ke atas.

Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya menjangkakan 50,000 individu menerima salah satu inisiatif daripada Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari minggu lalu.

“Terdapat 34 PPV yang kita kenal pasti di Selangor dan kita akan bagi rebat tambang di mana RM10 untuk pergi dan RM10 untuk pulang. Ini adalah usaha mengalakkan rakyat mengambil vaksin.

“Jadi tiada alasan tidak ada kenderaan, tiada duit kerana kita beri untuk galak lebih ramai menerima vaksin,” katanya selepas majlis penyerahan kerusi roda di Seksyen 13 di sini.

Beliau berkata MBI turut meminta bantuan pusat khidmat masyarakat, ahli majlis dan ketua kampung bagi melancarkan proses pendaftaran rebat tersebut.

“Kita sasar sehari 1,000 pengeluaran rebat ini sehingga selesai 50,000 dan jika ada keperluan untuk menambah kita akan usahakannya,” kata Ahmad Azri.

Beliau menambah MBI membuka peluang kepada individu berusia 50 tahun ke bawah turut sama menikmati rebat berkenaan dan perkara itu akan dimaklumkan kemudian.