Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais: Bantuan makanan kepada asatizah diagih hingga Isnin ini

SHAH ALAM, 18 JUN: Lebih separuh bantuan makanan asas diperuntuk kepada asatizah terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah diagihkan, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata bantuan diserahkan kepada pejabat agama Islam daerah masing-masing sebelum diberi kepada penerima.

“Daerah yang telah terima setakat hari ini melibatkan Petaling, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang. Esok akan disambung ke Kuala Selangor serta Sabak Bernam dan diteruskan pada Isnin untuk Gombak dan Hulu Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berharap bantuan bernilai RM100 itu dapat meringankan beban semua penceramah bertauliah kategori D3 dan D4.

Pada Selasa Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Selangor memperuntuk RM100,000 untuk bantuan makanan asas kepada 1,000 asatizah.

Penerima berkenaan tidak dapat menjalankan aktiviti di masjid dan surau selain kegiatan dakwah dalam talian juga terhad sekali gus menjejaskan pendapatan.