Categories
EXCO SELANGOR

Karnival kerjaya Selangor dijadual Julai ditangguh

SHAH ALAM, 17 JUN: Jelajah Selangor Bekerja yang dijadualkan Julai ini terpaksa ditangguh kepada tarikh baharu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

EXCO pembangunan generasi muda berkata berdasarkan perancangan, karnival berkenaan akan turun ke setiap daerah bagi menawarkan peluang kerjaya.

“Kita tawarkan untuk semua peringkat termasuk golongan bawahan serta profesional. Karnival secara maya mungkin dipertimbangkan ketika PKP Pemulihan dan sasar antara 3,000 hingga 5,000 penyertaan,” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya kini berusaha menjalin kerjasama dengan pelbagai sektor bagi memastikan lebih ramai individu mendapat peluang kerja.

“Majikan yang menyertai karnival ini tahun lalu bersetuju untuk meneruskan kerjasama. Jadi kita harap lebih ramai individu terjejas akibat Covid-19 dapat dibantu,” katanya.

Tahun lalu Jelajah Selangor Bekerja diadakan di lima lokasi bermula di Kuala Selangor, Gombak, Sungai Buloh, Hulu Langat, serta Shah Alam.

Antara peluang kerja ditawarkan ialah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, pembaca meter, operator panggilan, pemandu traktor terminal, penyelia dan penjaga stor.