Categories
AGENDA NASIONAL

Masyarakat jangan cuai meski divaksin, kekal amal SOP

SHAH ALAM, 30 JUN: Rakyat yang menerima suntikan vaksin Covid-19 diingatkan tidak cuai serta terus mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) meskipun negara mencapai imuniti kelompok, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengambilan vaksin hanya langkah pencegahan namun masyarakat mesti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan sentiasa mencuci tangan bagi mengekang penularan wabak.

“Kita hanya selamat sehingga orang sekeliling kita termasuk keluarga dan kawan atau sehingga penduduk negeri, negara, serta seluruh dunia sudah divaksin.

“Masyarakat perlu bersedia menghadapi peralihan dari fasa pandemik kepada endemik, jadi kita perlu membiasakan diri dengan penjagaan kesihatan sebab Covid-19 masih ada,” katanya ketika mengumumkan program Vaksin Selangor (Selvax) secara maya hari ini.

Beliau berkata Selvax hanya berjaya sekiranya semua pihak memberikan kerjasama utuh antara satu sama lain.

“Kerajaan Negeri akan terus merancang masa hadapan termasuk keperluan suntikan tambahan untuk menghadapi varian atau penularan baharu,” katanya.

Selvax dilancarkan bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan vaksin rakyat di negeri ini menerusi Selvax Komuniti dengan mengenal pasti kumpulan sasaran manakala Selvax Industri bagi melindungi pekerja.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.