Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas 105 tahun lega lengkap dua dos vaksin

KUALA KRAI, 29 JUN: Seorang warga emas berusia 105 tahun dari Kampung Bahagia lega apabila berjaya melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 manakala ada juga yang sebak kegembiraan menerima ‘pendinding’ daripada pandemik yang membawa maut itu.

Lebih menggembirakan Mamat Mat Ali dan isterinya Sharipah Samat, 79, apabila proses suntikan vaksin terus dipermudah setelah petugas kesihatan datang ke rumah mereka sekali lagi untuk memberikan suntikan dos kedua.

“Lega apabila selesai cucuk dos kedua hari ini, pak cik mahu berterima kasih kepada kerajaan terutamanya petugas kesihatan yang datang ke rumah kami yang terletak jauh di pedalaman dan mengambil masa dua atau tiga jam untuk sampai sekiranya menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD).

“Pak cik dan mak cik sudah uzur kalau mereka tidak datang ke rumah kemungkinan besar kami tidak dapat suntikan,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Mamat dan Sharipah antara 400 penerima suntikan menerusi Program Outreach Vaksinasi anjuran Pejabat Kesihatan Kuala Krai di kampung tersebut.

Bercerita lanjut, Mamat berkata beliau tidak boleh berjalan dan hanya mampu mengengsot sejak dua tahun lepas disebabkan faktor usia.

Sharipah berkata sepatutnya mereka perlu menghadiri janji temu suntikan vaksin dos pertama di Hospital Kuala Krai pada April lepas, namun terpaksa menolak disebabkan masalah kesihatan selain kesukaran untuk menaiki bot.

Sementara itu, di Shah Alam, Selangor, Latifah Sa’ad, 71, yang ditanya pemberita mengapa dirinya sebak, beliau hanya mampu menjawab, “mak cik terlampau gembira, (dapat cucuk)” sambil menyapu air mata yang mengalir.

Menurutnya, beliau tidak menyangka pengalaman mendapat suntikan vaksinasi pertamanya hari ini berjalan sangat mudah dan cepat, tidak seperti khabar angin yang didengarnya.

“Rasa lega, perjalanan vaksin lancar. Saya datang tadi tepat pukul 11 pagi. Cepat urusan dan petugas sangat membantu…tidak rasa sakit dan tiada kesan. Syukur Alhamdulillah,” katanya di pusat pemberian vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Bagi bekas pesakit Covid-19 Mohd Alias Md Yusof, 71, penerimaan dos pertama vaksin bagi dirinya hari ini merupakan detik yang dinanti-nanti oleh beliau kerana sepatutnya menerima suntikan pada April, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dijangkiti wabak itu pada tempoh tersebut.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Menjalankan Fungsi Naib Canselor UiTM Prof Dr Roziah Janor berkata setakat Ahad, lebih 7,000 orang menerima suntikan Covid-19 yang 10 peratus daripadanya merupakan warga emas sejak PPV itu beroperasi pada 21 Jun lepas.

-BERNAMA