Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas pesakit Covid-19 boleh divaksin, tidak perlu tiga bulan

SHAH ALAM, 9 JULAI: Bekas pesakit Covid-19, iaitu individu yang pulih daripada jangkitan virus SARSCoV-2, tidak perlu lagi menunggu tiga bulan untuk menerima suntikan vaksin.

Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu berdasarkan pendapat pakar yang dibentangkan dalam persidangan JKJAV semalam.

Menurut JKJAV kemunculan varian baharu Covid-19 menyebabkan keperluan untuk suntikan vaksin diberikan lebih awal dari tempoh tiga bulan ditetapkan sebelum ini.

“Sehubungan itu bekas pesakit Covid-19 yang disahkan bebas daripada virus kini dibenarkan untuk divaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV) menurut janji temu yang diberikan,” katanya hari ini.

JKJAV berkata bagaimanapun, bagi pesakit yang menerima antibodi monoklonal anti-SARS-CoV-2 atau ‘convalescent plasma’ sebagai sebahagian daripada rawatan Covid-19, mereka hanya boleh diberikan vaksin sekurang-kurangnya 90 hari selepas pulih.

“Ini adalah langkah berjaga-jaga diambil kini sehingga terdapat maklumat tambahan untuk mengelakkan kemungkinan gangguan terapi antibodi dengan tindak balas imun yang disebabkan oleh vaksin,” katanya.

JKJAV juga menggesa orang ramai yang masih menunggu keputusan ujian Covid-19 untuk tidak hadir ke PPV walaupun mempunyai temu janji atau sebagai pengiring.

Katanya mereka yang terpaksa membatalkan janji temu ini akan diberikan satu tarikh baharu secara automatik.