Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Covid-19: Trauma kesan sampingan, jangkitan berulang jejas psikologi

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 9 FEB: “Sewaktu dijangkiti Covid-19 kali kedua pada awal tahun ini saya berasa ‘down’, tertekan dan stres kerana takut untuk melalui pengalaman yang sama sewaktu terkena jangkitan kali pertama pada Mac 2020.

“Ketika jangkitan kali pertama, saya terpaksa duduk di Hospital Sungai Buloh selama 14 hari dan bergantung sepenuhnya pada mesin oksigen. Untuk jangkitan kali kedua, saya dimasukkan ke hospital yang sama untuk 11 hari tetapi hanya perlu menggunakan mesin bantuan oksigen selama tiga hari, ” demikian perkongsian Muhamaad Faizal Awang Kechil, 26, kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang bekerja sebagai eksekutif jualan disahkan positif Covid-19 kali kedua selepas tiga hari mendapat suntikan dos penggalak.

“Jangkit dari mana saya tak pasti, tapi lepas dos penggalak saya batuk, demam dan sesak nafas yang teruk. Saya pergi ke klinik, buat saringan dan negatif. Mungkin masa tu saya duduk dengan orang positif Covid-19 semasa menunggu di klinik.

“Kesan sampingan selepas jangkitan kedua ini bagi saya paling teruk kerana sehingga sekarang saya masih rasa sesak nafas (semput), cepat rasa penat apabila banyak bergerak, sakit dada malahan batuk pun masih ada dan belum sembuh,” kata Muhamaad Faizal.

Trauma kesan sampingan

Mempunyai sejarah penyakit asma, Muhamaad Faizal berkata, sebelum dijangkiti Covid-19, beliau sudah lama tidak diserang penyakit itu kerana sering beringat dengan menjaga pemakanan dan kesihatan.

Beliau yang menetap di Damansara berkata, kesan sampingan akibat jangkitan Covid-19 kali kedua sedikit sebanyak menjejaskan urusan hariannya terutama untuk bekerja.

“Selepas keadaan semakin baik (penurunan kes Covid-19) dan tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya bersemangat nak kembali bekerja, namun tak sangka pula diduga dengan jangkitan kali kedua yang memberi kesan sampingan yang lebih teruk.

Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA

“Saya jadi trauma, takut jika dijangkiti Covid-19 lagi. Apa yang saya lakukan sekarang ialah cuba mengelak kawasan yang sesak dan ramai orang, mengurangkan keluar berjalan ke pusat beli belah di samping lebih berdisiplin mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti memakai pelitup muka pada kebanyakan masa dan menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya.

Mengulas apa yang dilalui Muhamaad Faizal, pakar psikologi yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) Dr Noor Aishah Rosli berkata, ia merupakan fenomena yang dilalui kebanyakan bekas pesakit Covid-19.

Bahkan katanya, impak psikologi yang merangkumi kognitif, emosi dan tingkah laku manusia itu juga boleh mempengaruhi serta memberi kesan kepada orang sekeliling terutama ahli keluarga dan rakan terdekat mereka.

“Sedangkan mereka yang dijangkiti Covid-19 buat kali pertama boleh mengalami stres, tertekan dan takut lebih-lebih lagi jika mengalami kesan yang teruk sehingga mengganggu rutin harian, apatah lagi mereka yang dijangkiti buat kali kedua dan sudah berpengalaman, perasaan risau dan takut semestinya berganda.

“Sebagai contoh ada pesakit saya yang mengalami trauma dan panik apabila berada dalam ruang yang kecil dan sempit. Ini disebabkan pengalaman beliau dijangkiti Covid-19 sebanyak dua kali dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi berikutan keadaan tahap kesihatannya yang teruk.

“Sehingga sekarang, dia masih ada rasa cemas, berdebar, resah dan gelisah. Sebagai contoh, apabila menaiki tangga dań berada di ruang yang sempit dan gelap. Dia takut sekiranya jatuh sakit, bukan lagi semata-mata sebab Covid-19. Daripada seorang yang sihat, akibat Covid-19, dia kini mengalami serangan panik disebabkan pengalaman yang dilaluinya,” jelas beliau.

Vaksin kurangkan risiko

Menurut Dr Noor Aishah, tanggapan segelintir pihak bahawa vaksin dan suntikan dos penggalak sebagai jaminan untuk seseorang menjadi ‘kebal’ daripada dijangkiti Covid-199, turut menyumbang kepada gangguan psikologi dan rasa panik apabila mereka dijangkiti wabak itu.

Terdapat juga dalam kalangan pesakit Covid-19 yang berasa tertekan dan malu apabila dijangkiti wabak berkenaan kerana terdapat pihak yang mempersoalkan sama ada mereka telah mendapatkan suntikan vaksin atau tidak (antivaksin).

Beliau yang turut mengulas peningkatan kes baharu Covid-19 dalam negara yang melebihi 10,000 berkata, ianya sudah tentu mencetuskan kebimbangan dan rasa cemas dalam kalangan rakyat.

Malaysia pada 6 Februari 2022 merekodkan kes harian baharu Covid-19 sebanyak 10,089 dan menjadikan kumulatif kes sebanyak 2,914,220. Kali terakhir Malaysia merekodkan kes baharu COVID-19 melebihi paras 10,000 adalah pada 2 Oktober 2021, iaitu 10,915 kes.

Malah rakyat di negara ini sudah diingatkan bahawa kes harian baharu Covid-19 dijangka melonjak kepada 15,000.

Penerima vaksin mendapatkan suntikan dos penggalak di pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, Kuala Terengganu pada 13 Januari 2022. Foto BERNAMA

Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, menerusi satu hantaran di Twitter rasminya pada 6 Februari bahawa Malaysia kini berada di tengah-tengah gelombang jangkitan varian Omicron dan kes harian Covid-19 dijangka mencecah 15,000 tidak lama lagi.

Menyifatkan trend peningkatan kes jangkitan Covid-19 turut berlaku di kebanyakan negara, Dr Noor Aishah berkata, masyarakat perlu ada rasa serik dan sentiasa beringat antara satu sama lain.

“Kini banyak sambutan, majlis dan perjumpaan beramai-ramai diadakan… jadi patuhilah SOP untuk melindungi diri kita bagi mencegah penularan Covid-19.

“Bagi mereka yang tidak sihat, dijangkiti Covid-19 atau pun kontak rapat, tolonglah bersifat bertanggungjawab dan tidak pentingkan diri dengan keluar bergaul seperti biasa bagi mengelak anda menjangkiti orang lain,” katanya.

Terima hakikat, lebih bersedia

Sementara itu, Doktor Kesihatan Pekerjaan yang juga Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, persediaan mental dalam berhadapan risiko jangkitan Covid-19 berbeza bagi setiap individu.

Ia merangkumi aspek latar belakang (sebagai contoh usia, menghidap penyakit kronik), pengalaman (pernah dijangkiti), faktor demografik kepadatan penduduk dan kemudahan di sesebuah kawasan (bandar atau kampung) dan juga kesediaan masyarakat untuk menerima dan mengakui bahawa kita sememangnya hidup bersama Covid-19.

“Bagi yang menganggap vaksin sebagai pencegah kepada jangkitan Covid-19, tanggapan itu perlu diperbetulkan kerana ia sebenarnya bertindak mengurangkan keterukan sakit yang mungkin dialami pesakit. Dan bagi mereka yang mempersoalkan mengapa masih terkena jangkitan Covid-19 walaupun sudah lengkap vaksinasi, itulah hakikat yang perlu diterima selagi mana kita terpaksa hidup bersama wabak ini.

“Tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan keberkesanan vaksin, ia mungkin ada kesan sampingan tetapi tidaklah sehingga mengatasi manfaatnya bagi membantu mengurangkan keterukan sakit akibat jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, setiap individu perlu menjalani kehidupan seperti biasa dałam norma baharu di samping menjalankan penilaian risiko sendiri, sebagai contoh mematuhi SOP, membuat saringan kendiri apabila mahu ke mana-mana sebagai persediaan peribadi dan kepentingan awam.

Majikan dan pekerja khususnya perlu sama-sama mendepani pandemik yang masih belum berakhir ini dengan toleransi dan harmoni untuk mengimbangi kepentingan nyawa dan ekonomi.

“Kita dah ada pengalaman bersama Covid-19 dan kita seharusnya lebih bersedia daripada segala aspek agar dapat mengawal impak stres dan tekanan yang mungkin akan timbul sekiranya gelombang seterusnya berlaku,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin ikhtiar lawan Covid-19, kurangkan dampak jangkitan

SHAH ALAM, 6 OKT: Bekas pesakit Covid-19 meminta ibu bapa supaya yakin dengan vaksin sebagai ikhtiar untuk melindungi anak mereka daripada wabak berkenaan.

Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata pemberian suntikan pelalian itu terbukti dapat mengurangkan dampak jangkitan berbanding mereka yang tidak menerimanya.

Menurutnya, setiap ibu bapa harus memainkan peranan memberi maklumat tepat berkaitan vaksin untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingannya.

“Saya bernasib baik kerana anak yang berumur 13 hingga 19 tahun terima, mungkin kesedaran timbul selepas melihat bagaimana keadaan saya yang teruk ketika dijangkiti Covid-19.

“Saya bersyukur bila kerajaan umum program vaksin kepada remaja, bimbang juga kalau terdedah dengan masalah kesihatan sekiranya tiada vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara bertajuk Vaksinasi remaja, lindungi semua di Facebook Media Selangor malam tadi.

Mahfuzah berkata setakat ini tiga anaknya sudah menerima vaksin termasuk pasangan kembar berusia 17 tahun yang menghidap eczema dan bronkitis.

“Hari ini genap tujuh hari anak kembar terima dos pertama vaksin dan mereka dalam keadaan baik malah tidak sabar hendak bermain bola sepak.

“Namun saya larang mereka kerana telah dinasihat tidak melakukan aktiviti lasak dalam tempoh 14 hari selepas disuntik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas pesakit Covid-19 boleh divaksin, tidak perlu tiga bulan

SHAH ALAM, 9 JULAI: Bekas pesakit Covid-19, iaitu individu yang pulih daripada jangkitan virus SARSCoV-2, tidak perlu lagi menunggu tiga bulan untuk menerima suntikan vaksin.

Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu berdasarkan pendapat pakar yang dibentangkan dalam persidangan JKJAV semalam.

Menurut JKJAV kemunculan varian baharu Covid-19 menyebabkan keperluan untuk suntikan vaksin diberikan lebih awal dari tempoh tiga bulan ditetapkan sebelum ini.

“Sehubungan itu bekas pesakit Covid-19 yang disahkan bebas daripada virus kini dibenarkan untuk divaksinasi di pusat pemberian vaksin (PPV) menurut janji temu yang diberikan,” katanya hari ini.

JKJAV berkata bagaimanapun, bagi pesakit yang menerima antibodi monoklonal anti-SARS-CoV-2 atau ‘convalescent plasma’ sebagai sebahagian daripada rawatan Covid-19, mereka hanya boleh diberikan vaksin sekurang-kurangnya 90 hari selepas pulih.

“Ini adalah langkah berjaga-jaga diambil kini sehingga terdapat maklumat tambahan untuk mengelakkan kemungkinan gangguan terapi antibodi dengan tindak balas imun yang disebabkan oleh vaksin,” katanya.

JKJAV juga menggesa orang ramai yang masih menunggu keputusan ujian Covid-19 untuk tidak hadir ke PPV walaupun mempunyai temu janji atau sebagai pengiring.

Katanya mereka yang terpaksa membatalkan janji temu ini akan diberikan satu tarikh baharu secara automatik.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Walau sembuh, bekas pesakit akui mudah sesak nafas, pening kepala

JOHOR BAHRU, 13 JUN: Bekas pesakit Covid-19, Nor Shahidatul Akma Mohd Noh, bukan sahaja kehilangan ayah akibat pandemik itu malah beliau juga mengakui virus pembunuh berkenaan turut menjejaskan kualiti kesihatan fizikal dirinya.

Guru besar pusat pembelajaran komuniti Rohingya di Kulai, berumur 32 tahun itu berkata sebelum ini jarang sekali beliau berasa mudah letih apatah lagi mengalami sesak nafas biarpun kehidupan hariannya padat dengan pelbagai aktiviti dan memerlukan banyak pergerakan.

Tetapi akhir-akhir ini, Nor Shahidatul yang telah disahkan positif Covid-19 pada 4 Mei lepas dapat mengesan perubahan pada dirinya iaitu cepat berasa lemah, pening kepala dan sentiasa sesak nafas, walaupun sudah sembuh.

Nor Shahidatul dijangktiti Covid-19 selepas menjadi kontak rapat kepada arwah ayahnya, Mohd Noh Suraidi, 69, seorang ahli jawatankuasa (AJK) surau di kawasan perumahan mereka di Taman Impian Emas, Skudai, di sini yang meninggal dunia pada 16 Mei lepas.

“Selain saya, turut dijangkiti ialah ibu dan dua adik perempuan saya. Kami dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Permai serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) secara berperingkat bermula 6 Mei hingga 16 Mei.

“Menurut petugas kesihatan, kategori simptom yang kami alami adalah berbeza-beza. Saya sebagai contohnya dalam kategori dua (simptom ringan) tetapi setelah dibenarkan pulang, simptom yang saya alami bertambah teruk, menyebabkan saya dimasukkan ke hospital sekali lagi buat kali kedua pada 25 Mei selepas kali pertama pada 9 Mei,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Menurut Nor Shahidatul, sepanjang tempoh dijangkiti, kesakitan dialaminya sangat ekstrem kerana berlaku secara berterusan.

“Hampir semua simptom saya ada seperti demam, sakit perut, hilang selera makan, muntah, sakit badan atau lenguh dan sakit dada. Kemudian ia baik.

“Tetapi sudah baik pun, keadaan fizikal saya tetap belum sihat sepenuhnya sehingga kini kerana kadang kala cepat sesak nafas, pening kepala dan kurang bertenaga malah dinasihatkan oleh doktor untuk menjalani rawatan susulan pemeriksaan badan selama enam bulan,” katanya.

Nor Shahidatul berkata berikutan pengalamannya itu, dia menyeru masyarakat agar tidak memandang ringan mengenai bahaya Covid-19 dan menyarankan mereka untuk mengambil suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan awal.

“Saya tahu bermacam-macam maklumat atau petua di luar sana (media sosial) yang mengalakkan orang ramai untuk minum air termasuk air ketum, cengkih dan makan (cengkih), kononnya dapat mencegah Covid-19. Saya sendiri pernah mencubanya kerana merasakan ia antara bentuk ikhtiar.

“Tetapi selepas dijangkiti, baru saya sedar bahawa maklumat yang tersebar itu masih belum terbukti secara klinikal. Jadi nasihat saya, perolehlah maklumat daripada pihak yang betul dan jangan pergi ke tempat yang berisiko jika tiada urusan penting,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas pesakit Covid-19 giat bantu individu dikuarantin

KUALA TERENGGANU, 27 JAN: Pengalaman dikuarantin selama 14 hari ketika menjalani rawatan Covid-19, telah memberi inspirasi kepada seorang bekas pesakit untuk turut sama membantu mereka yang dijangkiti wabak itu.

Badrol Hisham Zaki, 52, yang pernah dikuarantin tahun lepas dan disahkan sihat sepenuhnya, kini aktif menyantuni pesakit Covid-19 dengan memberi pelbagai sumbangan barang keperluan, serta berkongsi pengalaman.

Katanya, masih ada stigma negatif dan pandangan serong terhadap pesakit Covid-19 oleh sesetengah pihak, walaupun banyak kempen kesedaran dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Sebab itu setiap kali berhadapan dengan individu yang mempunyai persepsi negatif, saya akan memberitahu fakta sebenar, agar mereka lebih memahami dan memberi sokongan, bukannya kejian kepada pesakit dan keluarga mereka.

“Saya tidak mahu pengalaman buruk yang menimpa saya sekeluarga ketika disahkan positif Covid-19 pada 25 September tahun lepas, dialami orang lain. Ketika itu perniagaan bakeri isteri turut terjejas. Semoga sedikit usaha ini dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Badrol Hisham yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Terengganu berkata, baru-baru ini pihaknya telah menyampaikan sumbangan berupa barang makanan dan cecair pembasmi kuman, kepada lebih 200 individu di sebuah institusi pengajian pondok yang dikuarantin.

Kesemua barangan tersebut adalah hasil sumbangan yang dikumpul menerusi beberapa rakan-rakan rapatnya dan ‘The International Committee of the Red Cross’ (ICRC) Jepun.

“Hati saya tersentuh kerana dimaklumkan ramai pelajar berusia belasan tahun perlu menjalani tempoh kuarantin, perasaan dan emosi mereka pasti terganggu apabila tidak lagi boleh melakukan aktiviti rutin harian seperti biasa.

“Sumbangan yang disampaikan sekurang-kurangnya dapat menceriakan mereka, malah ia adalah sebagai tanda keprihatinan serta kasih sayang masyarakat kepada warga institusi tersebut, yang sedang dalam kesusahan,” katanya.

Walaupun telah terlibat dengan PBSM Terengganu sejak 10 tahun lalu, Badrol Hisham mengakui semangatnya ketika melakukan program sukarelawan berkaitan Covid-19 lebih ‘membara’, terutama dalam menyangkal tanggapan negatif masyarakat terhadap bekas pesakit itu.

-BERNAMA