Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kurang sejam daftar vaksin di SELangkah, pemuda terkejut dapat tarikh suntikan

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seorang pemuda tidak menyangka menerima slot janji temu suntikan kurang sejam selepas mendaftar bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

Mohammad Nashuha Ishak, 27, membuat permohonan menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) kelmarin sebaik dimaklum seorang kenalan berhubung program yang aktif dijalankan Kerajaan Selangor ketika ini.

Mohammad Nashuha Ishak

Bapa kepada seorang anak berkata kelayakan segera itu menebus kehampaannya yang menanti lebih tiga bulan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya dos pertama menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Hampir setiap hari saya menyemak notifikasi di MySejahtera dengan harapan diberi tarikh suntikan vaksin tetapi masih belum ada rezeki. Mujur ada kawan sarankan agar saya daftar di SELangkah.

“Alhamdulillah, keputusan keluar sangat cepat, tak sampai sejam. Benda seperti ini yang kita mahu memandangkan sebagai ketua keluarga saya kerap berurusan di luar, jadi vaksin ini amat penting demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Pegawai jualan itu antara 2,500 individu disenarai pendek mendapat dos pertama di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De Palma, Seksyen 19 semalam.

Seorang lagi penerima, Saleha Harith, 38, yang tinggal di Kampung Sungai Udang, Klang bersyukur kerana layak menerima vaksin bawah DUN terbabit walaupun tidak lagi menetap di kawasan berkenaan.

Saleha Harith

Pembantu tadbir syarikat percetakan itu berkata dia hanya mencuba nasib berdaftar dalam sistem SELangkah memandangkan mahu segera mendapat suntikan supaya mampu kembali menjalani kehidupan normal.

“Alhamdulillah, rezeki saya apabila permohonan diterima walaupun sekarang sudah berpindah ke tempat lain yang bukan terletak dalam kawasan DUN Batu Tiga. Kelayakan ini mungkin mengambil kira alamat rumah lama di Seksyen 18, Shah Alam seperti tertera pada kad pengenalan.

“Diharap dengan suntikan vaksin ini saya dan seluruh rakyat dapat hidup normal semula. Kalau boleh saya mahu kembali ke pejabat dan bekerja seperti biasa kerana kerja dari rumah dalam tempoh agak lama itu membosankan,” katanya.