Categories
PBT SELANGOR

Sedia bas mudahkan pesakit Covid-19 PKPD Apartment Damai ke CAC

SHAH ALAM, 24 JULAI: Sebuah bas disediakan untuk penduduk Apartment Damai mukim Damansara
yang positif Covid-19 untuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati.

Pegawai daerah Petaling berkata bas itu disediakan untuk kemudahan penduduk di kawasan tersebut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sebelum ini kita membuka CAC secara hibrid namun menutupnya sejurus proses saringan selesai Selasa lalu.

“Dengan adanya bas, penduduk yang positif Covid-19 sama ada bergejala atau tidak dibawa ke CAC untuk memudahkan pemantauan tahap kesihatan pesakit,” kata Datuk Johary Anuar ketika dihubungi.

Menurutnya, seramai 2,323 penduduk selesai disaring Selasa lalu dan 1,774 keputusan saringan telah diterima.

“Daripada 1,774 saringan, seramai 682 individu didapati positif Covid-19 dan menjadikan jumlah keseluruhan di PKPD Apartment Damai berjumlah 985 kes berbanding sebelum ini 303 kes.

“Kita menjangkakan kes positif meningkat apabila menerima baki keputusan 549 individu petang semalam. Proses vaksinasi bermula semalam dan dijangka seramai 500 individu menerima vaksin,” katanya.

Pada 16 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor akan dikuatkuasa PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Apartment Damai, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.