Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Hanya tiga perkhidmatan pejabat kerajaan dibenar operasi

SHAH ALAM, 3 JULAI: Hanya tiga perkhidmatan pejabat kerajaan dibenarkan beroperasi di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata ia membabitkan perkhidmatan kesihatan, balai polis dan pintu-pintu masuk antarabangsa melibatkan urusan kastam, imigresen serta kuarantin.

“Selaras pelaksanaan PKPD, tatacara operasi piawai (SOP) pejabat kerajaan akan mengguna pakai arahan pengoperasian pejabat kerajaan fasa satu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis memaklumkan PKPD dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula hari ini sehingga 16 Julai.

Pada 29 Jun, kerajaan memutuskan untuk membuka kaunter perkhidmatan secara fizikal bermula 1 Julai dengan mengikut SOP yang ditetapkan.

Pembukaan kaunter perkhidmatan secara fizikal itu hanya membabitkan perkhidmatan tidak boleh dilaksanakan secara dalam talian, kapasiti petugas kaunter tidak melebihi 50 peratus dan kehadiran secara fizikal hanya melalui janji temu berjadual.