Categories
AGENDA NASIONAL

KSN: Operasi pejabat kerajaan ikut fasa pelan pemulihan mulai 26 Julai

PUTRAJAYA, 21 JULAI: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengeluarkan garis panduan pengoperasian pejabat kerajaan mengikut fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkaitan kehadiran, kaunter perkhidmatan dan mesyuarat yang akan berkuat kuasa mulai 26 Julai ini.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata ia selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai perubahan kadar peratusan kehadiran ke pejabat bagi sektor awam berdasarkan perkembangan positif kadar vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ismail Sabri baru-baru ini mengumumkan kerajaan melakukan sedikit perubahan ke atas tatacara operasi piawai (SOP) di bawah PPN bagi Fasa Satu yang membenarkan 40 peratus kehadiran di pejabat bagi sektor awam manakala perkhidmatan perakaunan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini mengeluarkan arahan bekerja dari rumah (BDR) sepenuhnya bagi pejabat sektor awam di negeri Fasa Satu PPN namun tidak termasuk petugas barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan, manakala hanya 20 peratus kehadiran di pejabat dibenarkan bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR.

Mohd Zuki berkata ketua jabatan perlu menentukan kehadiran pegawai yang diperlukan di pejabat berdasarkan garis panduan tersebut manakala pelaksanaan BDR hendaklah berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5/2020 – Dasar Bekerja Dari Rumah.

Mengenai pengoperasian Fasa Dua PPN, Mohd Zuki berkata kehadiran di pejabat adalah tidak melebihi 60 peratus manakala 40 peratus bekerja dari rumah (BDR), dengan tidak termasuk petugas barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.

“Kehadiran pelanggan adalah secara janji temu di kaunter perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi pada kadar 60 peratus,” katanya serta menambah mesyuarat atau perjumpaan secara fizikal adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Mengenai pengoperasian pejabat bagi Fasa Tiga PPN, Mohd Zuki berkata 80 peratus kehadiran di pejabat adalah dibenarkan manakala 20 peratus adalah BDR, kecuali petugas barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan sahaja dibenarkan untuk hadir bekerja.

“Kaunter perkhidmatan dibenarkan beroperasi pada tahap 80 peratus dengan kehadiran pelanggan tanpa janji temu,” kata Mohd Zuki.

Menurutnya, mesyuarat adalah dibenarkan secara hibrid sama ada perjumpaan fizikal atau dalam talian, namun kapasiti adalah tidak melebihi 50 peratus keluasan bilik mesyuarat.

Bagi pengoperasian pada Fasa Empat PPN pula, keberadaan di pejabat adalah dibenarkan bagi semua kakitangan awam manakala BDR diberikan kepada mereka yang memerlukan sahaja.

Katanya, operasi kaunter perkhidmatan dibenarkan sepenuhnya dengan kehadiran pelanggan tanpa memerlukan janji temu, manakala mesyuarat dibenarkan secara fizikal namun digalakkan diadakan secara dalam talian atau hibrid.

“Ketua jabatan perlu memastikan semua SOP yang dikeluarkan oleh MKN dipatuhi pada setiap masa untuk mencegah penularan wabak Covid-19 di pejabat masing-masing,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD: Hanya tiga perkhidmatan pejabat kerajaan dibenar operasi

SHAH ALAM, 3 JULAI: Hanya tiga perkhidmatan pejabat kerajaan dibenarkan beroperasi di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata ia membabitkan perkhidmatan kesihatan, balai polis dan pintu-pintu masuk antarabangsa melibatkan urusan kastam, imigresen serta kuarantin.

“Selaras pelaksanaan PKPD, tatacara operasi piawai (SOP) pejabat kerajaan akan mengguna pakai arahan pengoperasian pejabat kerajaan fasa satu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis memaklumkan PKPD dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula hari ini sehingga 16 Julai.

Pada 29 Jun, kerajaan memutuskan untuk membuka kaunter perkhidmatan secara fizikal bermula 1 Julai dengan mengikut SOP yang ditetapkan.

Pembukaan kaunter perkhidmatan secara fizikal itu hanya membabitkan perkhidmatan tidak boleh dilaksanakan secara dalam talian, kapasiti petugas kaunter tidak melebihi 50 peratus dan kehadiran secara fizikal hanya melalui janji temu berjadual.