Categories
AGENDA NASIONAL

Program vaksin Selangor manfaatkan 2,600 penduduk Seri Setia

PETALING JAYA, 30 JULAI: Seramai 2,600 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menerima manfaat Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti anjuran Kerajaan Negeri.

Wakil rakyat Halimey Abu Bakar berkata individu semua mereka termasuk warga asing yang mempunyai permit sah menerima suntikan pelalian jenis Sinovac secara berperingkat sejak minggu lalu hingga esok.

“Program percuma ini mendapat sambutan menggalakkan dan berjalan lancar, cuma hari ini peserta lebih ramai memandangkan ada individu dari Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) turut mendapat janji temu di sini.

“Sememangnya matlamat kita mahu seramai mungkin penduduk divaksin bagi mempercepatkan imuniti kelompok serta mengatasi pandemik ini,” katanya pada Program Selvax Komuniti Dun Seri Setia di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan PKNS dekat sini.

Kerajaan Negeri menyediakan dua juta dos vaksin kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Selvax Komuniti pula memanfaatkan 250,000 rakyat yang belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.