Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat Malaysia kongsi rasa teruja terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Bagi penduduk Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas ketika ini, mendapat ‘jemputan’ MySejahtera untuk diberi vaksin Covid-19 mungkin menjadi antara berita paling mengujakan.

Tinjauan Bernama ke pusat pemberian vaksin (PPV) di beberapa negeri menyaksikan penerima berkongsi rasa lega, syukur dan gembira menerima suntikan dos vaksin, malah menyeru masyarakat lain turut mengambilnya serta tidak terperdaya dengan berita palsu mengenai vaksin.

Di Perak, seorang petugas barisan hadapan yang pernah dijangkiti virus Covid-19 awal Januari lepas lega setelah menerima suntikan vaksin dos pertama ketika pembukaan PPV Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini.

Sarjan Kamaluddin Saiman, 55, berkata beliau terpaksa menolak panggilan pertama suntikan vaksin berikutan dijangkiti virus tersebut selama 21 hari dan mendapat rawatan sepenuhnya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

“Akhirnya selepas lima bulan pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan menunggu panggilan terima vaksin, saya dan isteri dapat suntikan hari ini. Syukur sangat kerana apa yang saya geruni sebagai bekas pesakit Covid-19 adalah virus ini boleh dijangkiti jadi saya perlu melindungi diri serta ahli keluarga,” katanya.

Penduduk Kampung Tanjung Lengkong, Abdul Malik Yahya, 48, bersyukur apabila ibunya Zainun Jaffar, 83, menerima panggilan janji temu suntikan vaksin sejurus selepas beliau mendaftar secara manual melalui program Jangkauan Komuniti yang dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selama.

“Rasa terkejut dan gembira apabila ibu menerima panggilan untuk dapatkan suntikan vaksin walaupun sebelum ini kami sudah daftarkan ibu menerusi MySejahtera tapi masih belum menerima panggilan, usaha sebegini seharusnya diteruskan bagi membantu penduduk pedalaman mendaftar mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Di Melaka, Rubiah Mamat, 65, pada mulanya menolak mendapatkan vaksin selepas mendengar pelbagai khabar buruk mengenai kesan sampingan selepas mengambil suntikan kerana bimbang mendapat komplikasi berikutan mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan gerd.

Namun, selepas mendengar penjelasan anak bongsunya, seorang pegawai perubatan di klinik kesihatan di negeri itu, beliau akhirnya terbuka hati dan akur demi keselamatannya.

“Sebelum ini macam-macam berita dan dakwaan yang dibaca dalam media sosial tentang kesan buruk vaksin tetapi selepas terima, tiada kesan buruk makcik alami tiga minggu ini. Jadi, janganlah dengar khabar angin atau cakap-cakap selain daripada pihak Kementerian Kesihatan dan dapatkan maklumat betul,” katanya.

Seorang penduduk Orang Asli di Kuala Langat, Selangor, Pusing Anak Datching, 60, pada mulanya tidak tahu apa itu vaksin untuk melawan Covid-19 tetapi empat anaknya menjelaskan dan meyakinkan supaya dia mengambil vaksin ini.

Pusing, seorang penduduk Kampung Orang Asli Pulau Banting berkata selepas mendapat penerangan berkenaan kebaikan vaksin daripada anak-anaknya, beliau mula berani untuk menampilkan diri mendaftar sebagai penerima vaksin jenis Pfizer, hari ini.

Berkongsi pandangan, seorang penduduk di Sarawak, Christine Junior, 21, berkata semua vaksin Covid-19 terbukti selamat dan rakyat tidak perlu terpedaya dengan berita palsu yang mempertikaikan keberkesanan vaksin.

Christine dari Kampung Jambu yang telah lengkap menerima kedua-dua dos vaksinnya di Klinik Kesihatan Bra’ang Bayur, Padawan berkata tidak dinafikan ada segelintir rakan sebayanya ragu-ragu untuk menerima vaksin kerana percaya dengan berita palsu yang disebarkan dalam media sosial.

“Justeru, saya kongsikan kepada mereka pengalaman setelah menerima dos pertama…tidak ada apa yang saya rasakan atau sebarang kesan sampingan yang memudaratkan berlaku kepada saya, malah berasa lega penantian selama beberapa bulan untuk menerima vaksin telah tercapai,” katanya.

Di Kelantan, Maziani Mohd Ghazali, 55, berkata anaknya Norhidayah Wahida Mat Lawi, 30, seorang kurang upaya tidak sabar untuk mendapatkan suntikan pada hari ini.

“Norhidayah yang tidak boleh bercakap, bangun seawal pukul enam pagi tadi untuk bersiap datang mendapatkan suntikan hari ini, dia tidak banyak kerenah walaupun cacat fizikal tetapi faham betapa perlunya untuk mendapat suntikan Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di PPV Masjid Padang Pak Amat.

-BERNAMA