Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selvax: Selgate jamin tidak timbul isu jual slot janji temu vaksin

SHAH ALAM, 15 JULAI: Selgate Healthcare memberi jaminan tidak timbul isu penjualan slot janji temu vaksinasi program Vaksin Selangor (Selvax) dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutifnya berkata hanya nama individu berdaftar dengan Selvax Komuniti dan Selvax Industri diberi suntikan pelalian di pusat pemberian vaksin (PPV) ditetapkan.

“Kami memperoleh nama dan nombor kad pengenalan individu daripada syarikat untuk Selvax Industri manakala pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau penyelaras bagi Selvax Komuniti. Mereka tidak akan diberi vaksin sekiranya nama tiada dalam senarai tersebut serta nombor kad pengenalan tidak dapat disahkan.

“Jadi, tidak akan timbul isu itu (jual slot janji temu) selagi mana nama mereka disenarai melalui kedua-dua pihak berkaitan. Malah, sampai sekarang kita tidak mengesan kes berkenaan kerana kemungkinan untuk berlaku itu susah,” kata Dr Muaz Omar ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, beliau menegaskan, sistem SELangkah yang dibangunkan Kerajaan Selangor juga melindungi data orang ramai bagi mengelak berlaku kebocoran maklumat.

“Dari segi etika syarikat, kita sentiasa menjaga maklumat dan peribadi orang ramai mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010. Jadi, untuk program Selvax dan semua orang yang berdaftar melalui SELangkah, privasi data mereka memang dijaga.

“Kita akan tangkap jika ada sesiapa dalam kalangan pekerja atau petugas yang menyalahgunakan atau membocorkan maklumat tersebut,” katanya lagi.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Negeri kepada sejuta pekerja termasuk warga asing bagi mengawal rebakan wabak di tempat kerja di bawah Selvax Industri.

Manakala program percuma Selvax Komuniti memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.