Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat tambah bakul makanan bantu penduduk depani PKPD

SHAH ALAM, 2 JULAI: Agihan bekalan makanan kekal menjadi tumpuan wakil rakyat negeri bagi membantu penduduk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata bekalan tersebut ditambah dari semasa ke semasa dan dijangka mencecah 3,000 bakul sepanjang tempoh PKPD.

“Setakat ini, sebanyak 2,200 bakul makanan sudah diagihkan dan dianggarkan jumlahnya akan mencecah sehingga 3,000 sepanjang pelaksanaan PKPD.

Halimey Abu Bakar (tengah) mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk Mentari Court yang dikenakan PKPD pada 1 Julai 2021. Foto Facebook Halimey Abu Bakar – Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Seri Setia

“Saya juga akan berbincang dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah untuk menyediakan khidmat kaunseling bagi mereka yang memerlukan bimbingan,” katanya ketika dihubungi.

Wakil rakyat Pandamaran Tony Leong Tuck Chee berkata pihaknya akan mempertingkat rondaan di kawasan perumahan bagi mengesan penduduk yang memerlukan bantuan.

Selain menggunakan peruntukan sedia ada, beliau berkata sumbangan turut diperoleh daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin terhadap keperluan masyarakat.

“Tidak semua mahu mengibarkan bendera putih, justeru saya meminta ketua kampung dan ahli majlis terus buat rondaan bagi mencari mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu, ADN Morib Hasnul Baharuddin pula menyediakan 500 bakul makanan untuk diagihkan kepada penduduk terutama penjaja yang hilang pendapatan harian.

Jamaliah Jamaluddin (kanan) bersama Team Bandar Utama melakukan kunjungan dari rumah ke rumah untuk menghulurkan bantuan makanan dan kit kesihatan kepada pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah pada 25 Mei 2021. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin

“Golongan ini banyak meluahkan rasa susah hati kerana pendapatan harian semakin berkurangan dan saya memaklumkan supaya jangan ragu-ragu berjumpa ketua kampung jika memerlukan bantuan.

“Saya juga mengingatkan penduduk walaupun angka wabak di sini kurang tetapi mereka perlu menjaga diri kerana risiko jangkitan tetap ada,” katanya.

Wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin akan menambah semburan nyahkuman di premis awam serta pangsapuri yang mencatat kes positif tinggi.

“Selain peruntukan makanan, bantuan ubat-ubatan dan vitamin juga diberikan kepada pesakit Covid-19 supaya mereka kekal sihat,” katanya.

PKPD dikuat kuasa di 34 mukim dalam lapan daerah Selangor selama 14 hari mulai esok bagi membendung Covid-19 dan akan disambung selama dua minggu jika penularan wabak gagal ditangani.