Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat terima aduan tiada akses internet ikuti PdPR

SHAH ALAM, 8 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua menerima banyak aduan daripada masyarakat berhubung ketiadaan akses internet dan kekurangan peranti untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Wakil rakyat Edry Faizal Eddy Yusof berkata keluhan itu sering didengar daripada ibu bapa, namun tindakan sukar diambil kerana kemampuan untuk membantu agak terhad terutama akses internet.

Edry Faizal Eddy Yusof

“Untuk peranti, kita boleh menggunakan peruntukan sedia ada bagi membantu masyarakat supaya tidak ketinggalan dalam pendidikan.

“Bagaimanapun kita tidak dapat membantu semua kerana peruntukan diterima juga perlu diagihkan untuk bantuan lain,” katanya pada program bual bicara ‘PdPR: Cabaran Emosi di Sebalik Layar menerusi Facebook Media Selangor.

Menurut Edry Faizal, kerajaan persekutuan seharusnya tidak mengambil mudah kelemahan akses internet yang dihadapi masyarakat terutama di kawasan luar bandar.