Categories
AGENSI SELANGOR

Zakat Selangor hulur bantuan, daftar Man Kidal sebagai asnaf

SHAH ALAM, 25 JULAI : Bagaikan jatuh ditimpa tangga, begitulah keadaan dilalui gitaris tanah air Man Kidal yang bukan sahaja positif Covid-19 namun turut berdepan kesempitan hidup sehingga terpaksa kibar bendera putih.

Simpati nasib dihadapi ahli kumpulan Lefthanded itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS)  tampil menghulurkan bantuan kepada Abdul Rahman Mahmood serta mendaftarkan beliau sebagai asnaf sehingga pendapatannya kembali stabil.

Maklum LZS menerusi kenyataan, Man Kidal telah kehilangan sumber pendapatan hampir dua tahun akibat pandemik sehingga terpaksa menjual barangan peribadi.

“Alhamdulillah, kami akan bantu beliau dan keluarga dari segi kewangan bulanan, sewa rumah dan tunggakan bil utiliti.

“Insya-Allah semoga dengan bantuan ini, Man Kidal dan keluarga dapat teruskan semangat untuk berjuang dalam keadaan mencabar ini,” kata agensi itu.

Pada masa sama, LZS berterima kasih kepada pembayar zakat yang dapat membantu meringankan beban masyarakat memerlukan terutama ketika pandemik ini.