Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Zakat Selangor sumbang 7,000 tablet, subsidi internet kepada pelajar

SHAH ALAM, 7 JULAI: Seramai 7,000 pelajar asnaf, fakir dan miskin dijangka menerima bantuan peranti mudah alih sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada Ogos.

Ketua pegawai eksekutifnya, Saipolyazan M Yusop berkata inisiatif tersebut disertakan subsidi bulanan internet berjumlah RM30 selama sembilan bulan, bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Keutamaan bantuan ini khusus untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia pada awal tahun depan

“Namun sumbangan juga diberikan kepada golongan pelajar lain yang memerlukan, semoga usaha ini memudahkan proses pembelajaran secara maya anak-anak kita,” katanya menerusi temu bual secara maya bersama Media Selangor.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan agihan zakat sebanyak RM69.3 juta menerusi 19 inisiatif bagi membantu golongan terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi yang akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember tahun ini.

Empat agenda bersasar dilaksanakan untuk memenuhi keperluan asnaf, fakir, miskin dan mualaf, meringankan beban golongan rentan, menyokong pemulihan institusi agama di Selangor serta menyokong keperluan asas barisan hadapan.