Categories
RENCANA

Bantuan untuk semua: Kawal wabak, gerakkan ekonomi

Menunggu selama enam bulan untuk mendapat suntikan, seorang penjawat awam tidak sangka daftar sehari terus beliau mendapat janji temu program Vaksin Selangor (Selvax).

Mohamad Hashimi Muhammad Yatim, 46, tiba dengan gembira di pusat pemberian vaksin (PPV) Kelana Jaya hujung bulan lalu.

Bukan beliau sahaja tentunya, mulai hujung Jun, hampir 300,000 warga Selangor yang mendaftar menerusi aplikasi SELangkah mendapat suntikan vaksin dengan mudah, program utama Kerajaan Negeri selain pelbagai usaha memerangi wabak sejak Mac tahun lepas.

Orang ramai bergambar selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 semasa program Vaksin Selangor (Selvax) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 13 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Usaha negeri ini sebagai pelengkap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang rancak digerakkan sepanjang bulan lalu melalui Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang.

Hasilnya, 3.77 juta penduduk sudah mendapat satu dos. Sementara lebih dua juta orang lagi atau 52.9 peratus penduduk sudah mendapat dua dos vaksin, sasaran yang membolehkan Selangor membuka semula sejumlah kegiatan ekonomi dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kerajaan pusat mengumumkan negeri yang berada dalam fasa ini termasuk Selangor boleh menggerakkan semula 11 kegiatan mulai 16 Ogos, antaranya kedai gunting rambut, pasar tani, kedai aksesori kereta, kedai barang kemas dan kedai perabot.

Pengusaha Goldcut Barbershop di Balakong Harriz Ahmad, 29, mengenakan apron dan pelindung muka ketika menggunting rambut pelanggan ketika tinjauan pada 11 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kemudahan ini terbuka kepada mereka yang mendapat suntikan lengkap.

“Sebagai contoh, sehingga 14 Ogos 2021, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa (18 tahun ke atas) di Lembah Klang telah mencapai 64.7 peratus.

Bantuan tambang

“Maka, individu yang telah lengkap vaksinasi di Lembah Klang boleh memanfaatkan kemudahan ini apabila kemudahan ini mula berkuat kuasa,” kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sehari sebelum berundur.

Selain pemberian vaksin, Selangor juga memudahkan orang ramai mendapat bantuan tambang e-panggilan Grab sebanyak RM20 bagi perjalanan dua hala ke PPV. Sehingga 8 Ogos, 9,290 orang daripada 12,550 permohonan sudah diluluskan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 5,466 baucar rebat tambang telah digunakan dengan peruntukan RM109,326 (setakat ini). Kemudahan itu disediakan antara 1 Julai hingga 30 September, sesuai dengan tempoh kempen vaksin Selvax.

Seperti juga program Selvax yang menelan belanja RM200 juta, bantuan tambang ini dengan dana RM1 juta antara 25 inisiatif dalam Pakej Kita Selangor 2.0 seperti diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada awal Jun lalu.

Dengan jumlah keseluruhan RM551.56 juta, ia dirancang dengan tiga strategi utama: menjaga kebajikan rakyat, memulihkan ekonomi dan mengekang penularan virus. Pakej terkini meneruskan beberapa bantuan sejak wabak Covid-19 melanda negara.

Dua hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama diisytiharkan pada 18 Mac 2020, Kerajaan Negeri mengumumkan fasa satu Selangor Prihatin dengan peruntukan RM127.8 juta.

Pada 1 April 2020, fasa kedua pakej ini menyuntik RM272.5 juta lagi.

Kit percuma

Semua bantuan ini, termasuk Pakej Kita Selangor 1.0 yang diumum pada Januari, memberi tumpuan kepada kumpulan sasar seperti pelajar, individu berpendapatan rendah, petani dan usahawan kecil.

Kerana wabak ini membataskan pergerakan ramai, pakej ini memanfaatkan kemudahan teknologi digital sama ada untuk pembelajaran di rumah atau menggerakkan kegiatan ekonomi peniaga.

Terkini, Kerajaan Negeri menyediakan 60,000 unit kit percuma ujian sampel air liur bagi individu yang kuarantin di rumah bersama keluarga di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Sebelumnya, melalui Pakej Kita Selangor 2.0, sebanyak 7,000 kit penilaian kendiri di rumah diedar kepada orang ramai, termasuk melalui pusat penilaian Covid-19 (CAC) di peringkat daerah.

Dengan dana RM1.25 juta, kit penilaian kendiri ini mengandungi oximeter (penyukat kandungan oksigen di dalam badan), ubat, jangka suhu dan pelitup muka KN95.

Semua usaha ini sebagai tindakan menampung sejumlah besar pesakit dalam kategori satu (tanpa gejala) dan kategori dua (gejala ringan) yang tidak perlu hadir ke CAC kecuali kumpulan berisiko atau gejala makin serius.

Seperti nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk penduduk Lembah Klang, mereka yang menjalani kuarantin hanya perlu memaklum status kesihatan masing-masing melalui aplikasi MySejahtera atau SELangkah.

Bagi membantu KKM menyelesai masalah kesesakan di bilik mayat pula, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan dan jabatan agama Islam menyusun kaedah pengurusan jenazah pesakit Covid-19 secara berpusat sejak bulan lalu. Ia berjaya mengurangkan beban di hospital.

Selain itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan tambahan RM1 juta lagi bagi membantu keluarga atau waris mengurus jenazah. Setiap waris pesakit warga Malaysia yang meninggal dunia di Selangor mendapat RM1,000 apabila disahkan maut akibat virus berbahaya ini.

Sehingga 12 Ogos, seramai 1,500 keluarga memohon kemudahan khairat kematian ini. Dengan tambahan dana tersebut, permohonan juga dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini.

Bakul makanan

Selain usaha-usaha mengekang wabak, Kerajaan Negeri menyediakan sejumlah RM3.28 juta untuk program bantuan makanan, termasuk RM50,000 seorang kepada semua wakil rakyat negeri termasuk pembangkang dan RM30,000 lagi untuk ahli parlimen.

Sebahagian ketua keluarga ceria selepas menerima sumbangan barangan keperluan asas makanan dalam program Pelancaran Penyerahan Bakul Makanan Kepada Ketua Isi Rumah Orang Asli Negeri Selangor di Balai Raya Kampung Orang Asli Sungai Buah, Dengkil, Sepang pada 14 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Setakat 15 Ogos, kira-kira 200,000 keluarga yang terjejas akibat kelembapan ekonomi dan pergerakan terbatas ketika PKP mulai Mei lalu mendapat bantuan bakul makanan tahun ini.

Selain golongan berpendapatan rendah lain, penerima bantuan ini termasuklah pemandu bas dan van sekolah, pemandu teksi serta bas persiaran, ibu tunggal, orang kelainan upaya dan individu hilang pekerjaan atau pendapatan merosot.

“Dianggarkan 150,000 hingga 200,000 keluarga termasuk mereka dijangkiti Covid-19 dibantu. Bakul makanan diedar setiap minggu, malah setiap hari di sesetengah kawasan,” kata Amirudin pada 15 Ogos.

Pada awal bulan ini, Kerajaan Negeri mengumumkan kemudahan bantuan data internet percuma selama setahun kepada 70,000 penduduk bawah program Data Internet Selangor bagi membantu pelajar, usahawan, ibu tunggal dan petani.

 

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom, Mohamad Ikwan Adam Azha, 18, mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Disediakan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan dana RM17.5 juta, kad modul pengenalan pelanggan (SIM) akan melancarkan kehidupan golongan sasar sesuai dengan matlamat Selangor Negeri Pintar 2025.

Untuk golongan menengah pula, yang merosot pendapatan akibat wabak ini, Kerajaan Negeri menyediakan Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40), program pertama di negara ini.

Data internet

Kerajaan Negeri akan menampung langganan pakej internet antara RM10 hingga RM30 sebulan selama setahun termasuk di kawasan luar bandar. Permohonan program SISM40, juga bawah pakej Kita Selangor 2.0, dibuka mulai 1 Julai hingga 31 Disember.

Selain bantuan RM80 juta untuk penduduk memulakan perniagaan melalui pinjaman Yayasan Hijrah, RM10 juta lagi disediakan untuk menjamin bekalan makanan melalui 1,000 orang usahawan tani dengan kerjasama AgroBank.

Sementara program Selangor Advance pula memperuntuk pinjaman tambahan RM200 juta bagi memastikan usahawan melancarkan modal pusingan dan aliran tunai masing-masing, sekali gus dapat terus menggerakkan syarikat dan mengekalkan pekerja.

Sehingga 30 Julai, Kerajaan Negeri meluluskan lebih RM472 juta bagi membantu 925 syarikat dalam sektor perusahaan kecil sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Melalui Selangor Advance, 50,000 pekerja ini dapat menyambung pekerjaan mereka apabila dana yang diberikan membantu syarikat dalam meneruskan kitaran modal dan tunai mereka semasa tempoh krisis ini menyebabkan syarikat masih boleh lagi bertahan,” kata Dato’ Menteri Besar dalam wawancara bersama Bernama.

Selain pinjaman, sejak awal 29 Januari, Selangor menyediakan panduan mengawal wabak melalui program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) dan berjaya menarik penyertaan lebih 1,500 syarikat besar dan kecil.

Begitu juga pemberian vaksin percuma kepada sejuta pekerja dan kakitangan syarikat bawah program Selvax Industri, pelengkap Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) yang digerakkan kerajaan persekutuan.

Pendek kata, Selangor terus berjuang memulihkan kehidupan kita semua yang terganggu akibat wabak besar, penyakit luar biasa yang mengorbankan jutaan nyawa di seluruh dunia.