Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Bantuan RM1,000 kepada waris urus jenazah mangsa Covid-19

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan sekali bayar RM1,000 kepada waris mangsa Covid-19 bukan Islam bagi pengurusan jenazah.

EXCO Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (Limas) V Ganabatirau berkata usaha itu bertujuan meringankan beban waris menanggung kos perbelanjaan pengebumian tinggi.

“Kita sedia maklum pengurusan jenazah bagi masyarakat bukan Islam menelan kos perbelanjaan yang tinggi kerana majoriti dilaksana oleh syarikat swasta.

“Bayaran ini ditawarkan kepada waris yang mana ahli keluarga mereka meninggal dunia mulai kelmarin sehingga 30 November sahaja. Namun, ia tertakluk kepada perubahan dan sehingga peruntukan RM500,000 yang diberi Kerajaan Negeri habis diguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bantuan pengurusan jenazah Covid-19 bagi individu bukan beragama Islam di Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, di sini semalam.

Menurut Ganabatirau antara syarat permohonan ialah pengundi Selangor, mangsa yang meninggal dunia anak kelahiran negeri ini atau bermastautin lebih 10 tahun dan disahkan kematian disebabkan Covid-19.

Selain itu, beliau berkata permohonan terhad bagi satu kematian sahaja dan waris hanya boleh memohon dalam tempoh 30 hari selepas tarikh meninggal dunia.

Permohonan boleh dilakukan dengan hadir ke pejabat Ganabatirau bersama dokumen lengkap seperti berikut:

1) Sijil kematian/ permit kubur/ bukti kematian
2) Salinan kad pengenalan si mati
3) Salinan kad pengenalan waris
4) Pengesahan pemastautin si mati (disahkan)
5) Salinan penyata akaun bank waris terdekat yang memohon (bagi bayaran secara dalam talian)