Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan elektrik tidak dipotong sehingga 30 September

SHAH ALAM, 25 OGOS: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menghentikan aktiviti pemotongan elektrik sehingga 30 September depan bagi pengguna dengan bil tertunggak.

Syarikat utiliti itu berkata pemotongan juga tidak akan dibuat di kediaman dalam negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara.

“Ini bagi membantu pengguna kediaman yang ada tunggakan bil tidak melebihi enam bulan setakat 31 Disember tahun lalu,” katanya di Facebook hari ini.

TNB meminta pengguna menjelaskan bil menerusi aplikasi myTNB atau layari Portal myTNB bagi mengelakkan tunggakan.

Pengguna diminta klik www.tnb.com.my/residential/payment-methods untuk maklumat lanjut.

Pada 31 Januari lalu, TNB mengumumkan tidak akan melakukan pemotongan bekalan elektrik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.