Categories
ADN SELANGOR

Lebih 6,000 bakul makanan diagih kepada penduduk Pelabuhan Klang

KLANG, 19 OGOS: Lebih 6,000 bakul makanan diagih sepanjang tahun ini kepada penduduk Pelabuhan Klang yang terkesan pendemik Covid-19, kata wakil rakyatnya.

Azmizam Zaman Huri berkata bantuan turut mendapat kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat persendirian yang mahu bersama-sama meringankan beban penduduk.

“Bantuan berupa makanan kering dan basah ini bukan hanya tertumpu individu terjejas kewangan sahaja sebaliknya mereka yang dikuarantin akibat pandemik.

“Kita akan terus membantu penduduk terutama mereka yang hilang kerja serta tiada sumber pendapatan bagi memastikan bekalan makanan tidak putus,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 kepada semua Ahli Dewan Negeri.

Pakej bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.