Categories
AGENSI SELANGOR

MBI peruntuk RM20,000 sumbang tuala wanita

PETALING JAYA, 28 OGOS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sejumlah RM20,000 untuk menjayakan program sumbangan tuala wanita sempena kempen Peduli Kemiskinan Haid.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata program julung kali itu dilaksanakan bagi menyantuni golongan wanita kurang berkemampuan

“Tuala wanita merupakan keperluan penting yang mana adakalanya kita terlepas pandang untuk menyumbang selain bakul makanan, lampin dan susu bayi.

“Insya-Allah kempen ini akan diteruskan pada masa depan dan jika ada permintaan daripada mana-mana pihak kita akan tambah lagi peruntukan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata hampir 3,000 pek tuala wanita akan diagihkan ke seluruh Selangor dan untuk hari ini, sebanyak 250 pek diagihkan di sekitar Kelana Jaya.

“Pemilihan peserta dibuat berdasarkan pencarian oleh ahli majlis, ketua kampung dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Semoga bantuan ini membuka mata NGO atau mana-mana badan swasta untuk menjadikan tuala wanita sebagai salah satu barangan bantuan kepada individu B40,” katanya.