Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian IDE: 51.2 peratus pengundi PRN Johor kekal pilih parti sama

SHAH ALAM, 11 MAC: Sebanyak 51.2 peratus pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini dijangka kekal memilih parti yang diundi ketika Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Dapatan itu diperoleh Institut Darul Ehsan (IDE) menerusi Survei Landskap Persepsi Pengundi Johor Menjelang PRN Negeri Johor 2022 dijalankan terhadap 3,200 respondan sepanjang 18 hingga 22 Februari.

“Trend pengundi memilih calon bergantung  kepada keperibadian sebanyak 37.6 peratus manakala 34.8 peratus berdasarkan parti diwakili calon.

“15.4 peratus respondan pula bakal membuat pilihan berdasarkan isu setempat yang diperjuangkan,” kata unit penyelidikan IDE menerusi kenyataan hari ini.

Secara umumnya IDE mendapati semua parti dan jentera perlu bekerja keras memujuk pengundi keluar melaksanakan hak demokrasi.

“Peluang berkempan masih terbuka dan rakyat cenderung untuk membuat keputusan antara 24 hingga 48 jam sebelum mengundi khususnya golongan muda serta kumpulan yang tidak memihak mana-mana parti,” katanya.

PRN Johor diadakan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor penggal ke-14.

Sehubungan itu SPR menetapkan tarikh pengundian pada Sabtu ini manakala

pengundian awal berjalan kelmarin.

Pada PRU-14 Pakatan Harapan buat pertama kali berjaya menawan Johor dengan menang majoriti mudah 29 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR: Kempen PRN Johor dibenarkan sehingga 12 tengah malam

JOHOR BAHRU, 2 MAC: Ceramah, syarahan dan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini boleh diadakan hingga pukul 12 tengah malam.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan hari ini, pindaan tatacara operasi piawai (SOP) itu berkuat kuasa serta-merta dan dibuat berdasarkan cadangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain melanjutkan waktu berkempen, SPR turut membenarkan penganjuran kempen secara fizikal di dalam atau pekarangan pejabat dan bilik gerakan parti.

Namun, jumlah kehadiran termasuk penganjur, penceramah dan peserta menghadiri kempen berkenaan haruslah tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang dan tidak boleh diadakan di premis yang terbuka atau di tempat awam.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan COVID-19 bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, SPR menetapkan ceramah, syarahan dan kempen pada PRN Johor hanya boleh diadakan hingga 10 malam.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

MBI peruntuk RM20,000 sumbang tuala wanita

PETALING JAYA, 28 OGOS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sejumlah RM20,000 untuk menjayakan program sumbangan tuala wanita sempena kempen Peduli Kemiskinan Haid.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata program julung kali itu dilaksanakan bagi menyantuni golongan wanita kurang berkemampuan

“Tuala wanita merupakan keperluan penting yang mana adakalanya kita terlepas pandang untuk menyumbang selain bakul makanan, lampin dan susu bayi.

“Insya-Allah kempen ini akan diteruskan pada masa depan dan jika ada permintaan daripada mana-mana pihak kita akan tambah lagi peruntukan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata hampir 3,000 pek tuala wanita akan diagihkan ke seluruh Selangor dan untuk hari ini, sebanyak 250 pek diagihkan di sekitar Kelana Jaya.

“Pemilihan peserta dibuat berdasarkan pencarian oleh ahli majlis, ketua kampung dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Semoga bantuan ini membuka mata NGO atau mana-mana badan swasta untuk menjadikan tuala wanita sebagai salah satu barangan bantuan kepada individu B40,” katanya.

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais lancar kempen salur wang tidak patuh syariah kepada Baitulmal

SHAH ALAM, 17 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini melancarkan Kempen Penyaluran Wang Tidak Patuh Syariah kepada Baitulmal institusi itu bagi memberi kesedaran supaya orang ramai bijak menguruskan harta seperti dituntut syarak.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kempen dijalankan menerusi platform media sosial institusi berkenaan sepanjang Rejab 1442H itu bertujuan mengajak orang ramai membersihkan harta agar kehidupan mendapat keberkatan.

Menurut beliau Wang Tidak Patuh Syariah merupakan wang atau harta yang diperoleh daripada sumber haram seperti transaksi riba, hasil jualan barang curi atau rompakan, duit rasuah dan loteri serta pelindungan insurans konvensional.

“Sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta umat Islam, Mais berperanan untuk menyampaikan maklumat serta pengetahuan betapa pentingnya mengurus harta dengan sempurna berlandaskan hukum syarak.

“Semoga seluruh umat Islam dapat memanfaatkan bulan Rejab ini dengan menyucikan harta melalui pelupusan Wang Tidak Patuh Syariah kepada Baitulmal Mais dan mudah-mudahan diberkati oleh Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selain hebahan mengenai kempen itu, Mais juga melaksanakan pelbagai program berkaitan secara dalam talian antaranya webinar kesedaran mencari rezeki halal dan kuliah di masjid serta surau.

Pelancaran kempen itu disempurnakan oleh Abdul Aziz dengan penyerahan poster berkaitan kepada Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar sebagai simbolik, dalam satu acara ringkas hari ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai aktiviti kempen berkenaan boleh mengikuti Facebook Mais dan proses melupuskan Wang Tidak Patuh Syariah dilakukan menerusi laman web https://www.mais.gov.my/wang-tak-patuh-syariah/.

– BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Kempen tanam 100 juta pokok libat hingga 80,000 hektar kawasan

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Kempen Penanaman 100 juta Pokok pada sepanjang Rancangan Malaysia ke-12 bakal melibatkan kawasan seluas 20,000 hingga 80,000 hektar di seluruh negara.

Diterajui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), kempen itu akan menyaksikan kira-kira 20 juta batang pokok akan ditanam setiap tahun bermula 2021 hingga 2025.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang berkata penanaman pokok akan meliputi kawasan darat, pesisiran pantai, paya laut dan kawasan gambut.

“JPSM juga akan menumpukan penanaman di kawasan bekas penerokaan haram, hutan terosot, kawasan banjir besar, hutan miskin yang tidak banyak pokok tumbuh secara semula jadi serta hutan yang digunakan untuk aktiviti-aktiviti yang dibenarkan seperti bekas kawasan penempatan kayu balak atau matau,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat JPSM baru-baru ini.

Antara pokok yang akan ditanam ialah merbau, meranti tembaga, merawan siput jantan serta spesies pokok nadir.

Beliau berkata peruntukan kempen sebanyak RM20 juta itu akan digunakan untuk penyediaan anak pokok, kerja penanaman, rawatan dan penyelenggaraan, menaik taraf tapak semaian serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Bagi memastikan sasaran tercapai, kerajaan turut menggalakkan penglibatan orang ramai termasuk sektor swasta, katanya.

Pemantauan terhadap pelaksanaan kempen yang bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” itu akan dibuat menggunakan aplikasi Penghijauan Malaysia yang boleh dimuat turun melalui aplikasi telefon mudah alih atau capaian melalui laman web www.100jutapokok.gov.my .

Aplikasi dan capaian ini akan berfungsi sebagai penghitung yang merekodkan jumlah pokok yang ditanam sepanjang kempen.

“Jadi, orang awam yang menanam apa jenis pokok berkayu, tidak kira sama ada pokok landskap atau pertanian, boleh melaporkan tanaman mereka untuk direkodkan bagi tujuan pengiraan sekali gus meyumbang kepada jumlah sasaran sepanjang kempen,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Ridza berkata penanaman 100 juta pokok itu bagi mendukung komitmen yang dibuat oleh negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro 1992 dalam mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan.

Setakat 2019, seluas 18.27 juta hektar atau 55.3 peratus daripad keluasan tanah negara adalah kawasan berhutan dan seluas 4.81 juta hektar di Semenanjung Malaysia merupakan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang diwartakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Mohd Ridza berkata kempen tersebut juga merupakan usaha menangani fenomena perubahan iklim di peringkat global yang semakin membimbangkan.

“Para saintis mengenal pasti hutan sebagai elemen penting dalam menangani sebarang perubahan iklim kerana proses fotosintesis pokok yang menyerap karbon dioksida di atmosfera mampu mengurangkan kesan rumah hijau,” katanya.

Sejak kempen dilancarkan pada 2010, sebanyak 72,167,890 batang pokok telah ditanam, melibatkan kawasan seluas 90,000 hektar di seluruh negara.

“JPSM berharap semua pihak termasuk badan bukan kerajaan, individu dan seluruh rakyat Malaysia dapat turut serta dalam menjayakan kempen ini bagi membantu mencapai sasaran menanam 100 juta pokok sekali gus menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI SELANGOR

GM Klang lancar kempen sokong beli barangan tempatan

KLANG, 17 SEPT: Pusat Pemborong GM Klang melancarkan kempen #KasiSupportBaranganTempatanLah sebagai inisiatif dalam membantu usaha meningkatkan ekonomi negara yang sedang berdepan dengan ancaman penularan Covid-19.

Pengurus Pengiklanan & Promosi GM Klang Norsuhaida Othman berkata kempen itu merupakan antara usaha pusat berkenaan untuk memupuk usaha membeli barangan dan jenama tempatan di samping menyemai semangat cinta akan negara dalam kalangan pembeli secara tidak langsung.

Katanya ia juga sebagai tanda sokongan terhadap Kempen Beli Barangan Malaysia yang disarankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Seiring dengan kempen ini, ia adalah usaha kami untuk mempromosikan peniaga-peniaga tempatan di sini khususnya, kerana kami turut wujudkan slot peniaga tempatan di sini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen berkenaan di sini, semalam.

Norsuhaida berkata kempen bermula 31 Ogos sehingga 30 September depan itu turut menawarkan peluang memenangi insentif membeli belah RM300 tiap seorang, di mana pengunjung hanya perlu berswafoto di lokasi menarik sekitar GM Klang bersama topi eksklusif berharga RM5 yang boleh dibeli di pusat khidmat kompleks itu, dan memuat naik gambar di laman sosial mereka, dengan ‘tag’ GM Klang beserta #supportbarangantempatan.

“Sepuluh pemenang bertuah akan diumumkan pihak kami pada bulan Oktober nanti,” katanya.

Sementara itu, Norshuhaida turut menyampai hadiah cabutan bertuah kepada lima orang pengunjung GM Klang bulan Ogos lepas yang menyaksikan setiap pemenang membawa pulang baucar membeli-belah di kompleks itu bernilai RM1,000.

Katanya program cabutan bertuah akan diteruskan sehingga Disember ini dan pengunjung yang ingin menyertai cabutan itu hanya perlu berbelanja RM100 di mana-mana kedai di kompleks berkenaan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Barangan buatan Malaysia rancakkan ekonomi domestik

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Usaha kerajaan memperkasa Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun ini bertepatan memandangkan ekonomi semasa yang terjejas akibat pandemik Covid-19, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Menurut beliau, langkah itu perlu bagi merangsang dan merancakkan pertumbuhan ekonomi domestik, sekali gus meningkatkan kesedaran pengguna tentang kewujudan produk tempatan dan menggalakkan pembelian.

Pada masa sama, katanya kempen itu juga dapat membantu pengusaha tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengembangkan perniagaan.

“Berdasarkan data terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sumbangan PKS kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 38.9 peratus pada 2019 berbanding 38.3 peratus yang dicatatkan pada 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian dan pelepasan Program Kembara Pengguna dan Peniaga KPDNHEP Selangor Tahun 2020 di Stesen Petronas Temasya, Lebuhraya Persekutuan hari ini.

Menurut beliau, produk tempatan berperanan besar terhadap ekonomi negara dan akan terus menyumbang kepada peningkatan peratusan KDNK selain membuktikan peranan PKS yang berupaya menyediakan peluang pekerjaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Hasnol Zam Zam berkata pelbagai strategi diperkenalkan dalam usaha membawa produk PKS tempatan ke sektor peruncitan termasuk berkolaborasi dengan syarikat peruncitan utama negara serta kerjasama daripada pasar raya, kedai serbaneka dan rangkaian kedai syarikat minyak.

Program Kembara Pengguna dan Peniaga KPDNHEP Selangor Tahun 2020 dirangka sebagai platform untuk mendapatkan maklumat asas tentang kesedaran kepenggunaan bagi pengguna dan peniaga terpilih di kawasan luar bandar.

Program empat hari sehingga 16 September itu turut mempromosikan dua kempen utama iaitu KBBM dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang merupakan inisiatif bagi merancakkan sektor peruncitan serta mengembalikan permintaan pasaran dalam negara.

Ia dilaksanakan secara jelajah berkumpulan (konvoi) dengan penglibatan 12 kenderaan pacuan empat roda dan 20 tempat kajian berjarak 591 kilometer keseluruhan ditetapkan bagi mendapatkan maklumat berkaitan tahap kesedaran pengguna dan peniaga di Selangor.

KPDNHEP Selangor juga mendapat kerjasama daripada Petronas Dagangan Berhad bagi mempromosikan Petronas sebagai jenama Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Celcom Axiata bantu transformasi digital PKS

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Celcom Axiata Bhd telah melancarkan kempen ‘Celcom Business: Reimagine SME for Tomorrow’ dalam usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melaksanakan usaha digitalisasi serta pulih daripada impak pandemik Covid-19.

Susulan itu, Celcom Axiata hari ini melancarkan kerjasama dengan 13 rakan lain merangkumi agensi-agensi kerajaan, institusi kewangan, organisasi keusahawanan dan rakan teknologi bagi menyalurkan sumber serta pengetahuan berkaitan.

Rakan terbabit adalah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Majlis Amanah Rakyat, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad dan Bank Simpanan Nasional yang akan menggalakkan inisiatif-inisiatif kepada PKS terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Idham Nawawi berkata PKS menyumbang 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk memastikan pertumbuhan dan kelangsungan PKS diberi keutamaan serta mampu untuk pulih dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, pada masa sama, adalah penting bagi PKS untuk memanfaatkan penggunaan digital yang berkembang pesat di Malaysia atau terus ketinggalan.

Sementara itu, Alliance Bank Bhd dan SME Corporation akan membantu PKS dari segi pembiayaan untuk memperoleh sokongan digital Celcom.

Pihak lain yang turut terbabit sebagai rakan usaha itu termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia, Persatuan PKS Malaysia, Persatuan Ejen-Ejen Penghantaran & Logistik Selangor, Microsoft, Slurp! dan Avana Asia.

-BERNAMA

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Tourism Selangor jalin kerjasama Sime Darby, lancar ‘THIS IS HOW LIFE SHOULD BE’ Photo Hunt

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 OGOS: Tourism Selangor melalui kerjasama Syarikat Pemaju Perbandaran Utama iaitu Sime Darby Property Berhad melancarkan Pertandingan Fotografi The City of Elmina ‘THIS IS HOW LIFE SHOULD BE’ #DiscoverSelangor, di Galeri Jualan Elmina Pavilion, di sini, baru-baru ini.

Seiring dengan peranannya selaku pemain penting industri pelancongan negeri ini, usaha pelaksanaan itu digembleng secara bersama bagi mempamer dan mempromosikan lagi lokasi menarik yang terdapat, di Selangor.

Pengurus Besarnya, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, pihaknya sentiasa optimis dalam memastikan sektor pelancongan berjalan rancak terutama dengan memperhebatkan lokasi tumpuan pelancongan tersembunyi sedia ada dan baharu.

“Justeru, setiap tahun kami akan menambah baik dan menjadi lebih kreatif dalam mencuri tumpuan pelancong antarabangsa juga tempatan untuk datang berkunjung ke Selangor.

“Kami amat berterima kasih kerana mempunyai rakan kongsi yang sudi menyokong ke arah merealisasikan hasrat itu seperti Sime Darby Property untuk menjadi tuan rumah untuk edisi kesembilan penganjurannya,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas berhubung pemilihan Bandar Elmina sebagai lokasi penganjuran, Noorul Ashikin berkata, bandar itu adalah perbandaran utama Sime Darby Property yang terdiri daripada perbandaran Denai Alam, Bukit Subang, Elmina Timur dan Elmina West.

“Ia dipilih berdasarkan lokasi dan kedudukannya yang mudah untuk diakses serta persekitaran indah, selain memaparkan ruang hijau Elmina Central Park seluas 300 ekar juga lebih luas berbanding ‘Lake Gardens’, di Kuala Lumpur.

“Selain itu, aspek kebolehcapaiannya juga sangat mudah kerana diakses melalui Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE), Guthrie Corridor Expressway (GCE), Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya ELITE.

“Lebuh raya itu turut menghubungkan perbandaran ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 serta pinggir bandar popular, di Lembah Klang seperti Subang Jaya dan Shah Alam,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Pengurus Besar Sime Darby, Apollo Leong, melahirkan perasaan gembira apabila berpeluang turut serta memainkan peranan dalam mengetengahkan tarikan tempatan, di Selangor.

“Kepelbagaian lokasi menarik dan unik di Selangor amat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan Malaysia tahun ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’.

“Ia suatu penghargaan untuk kami menjadikan Bandar Elmina sebagai tuan rumah bagi acara penuh bermakna ini.

“Sudah pasti, setiap elemen alam semulajadi, lanskap dan gaya hidup dalam perkembangan ini bakal memberi latar belakang sempurna untuk jurugambar khususnya serta penggemar alam semulajadi amnya,” katanya.

Terdahulu, penganjuran pertandingan yang mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada penggemar seni foto itu turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM24,500.

Categories
SELANGOR

Selangor lancar Kempen Hormat Wanita

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 APR: Kerajaan Negeri buat julung kalinya melancarkan Kempen Hormat Wanita (KWH) dalam usaha mendidik masyarakat berkenaan kepentingan keadilan sosial terhadap kaum berkenaan.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, pelbagai Inisiatif Hormat Wanita (IWH) bakal diperkenal sempena KWH terutama membabitkan penyediaan kemudahan mesra wanita di tempat kerja.

Katanya, inisiatif lain termasuk melaksanakan dasar 30 peratus pembabitan wanita di peringkat pembuat keputusan serta pencegahan jenayah dan gangguan seksual melalui penguatkuasaan agensi Kerajaan Negeri, badan berkanun dan anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

DR DAROYAH“Kerajaan Negeri sentiasa beranggapan bahawa wanita tonggak dan penggerak masyarakat dalam memenuhi tanggungjawab sosial sebagai rakyat.

“Maka, menjadi kewajipan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan kempen dan inisiatif sebagai penghormatan kepada golongan penting ini,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Hormat Wanita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Daroyah berkata, ia membuktikan komitmen Kerajaan Negeri mengiktiraf golongan wanita bekerjaya dengan menyediakan sistem sokongan kukuh.

“Kita mahu mereka terus menyumbang bakti kepada negeri selain meletakkan keluarga sebagai keutamaan demi kesejahteraan keluarga dan masyarakat,” katanya.

Hadir sama, Penasihat Pusat Wanita Berdaya, Zuraida Kamaruddin dan Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh.

Sebelum ini, Belanjawan Selangor 2017 memperuntukkan RM10 juta bagi memberdaya wanita dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kerjaya termasuk RM1 juta untuk Institut Wanita Berdaya (IWB).

Categories
SELANGOR

Jom Bagi Buku FESBUK galak derma buku terpakai

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 Apr: Orang awam berpeluang menyumbang pelbagai jenis buku bacaan terpakai menerusi Kempen Jom Bagi Buku di Pusat Membeli Belah SACC dan Kompleks PKNS, hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate (PREC) Sdn Bhd, Fakru Radzi Ab Ghani, berkata kempen dijalankan sehingga 1 Mei itu adalah sebuah program kemasyarakatan bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan bahan bacaan secara percuma.

Katanya, penganjuran kempen itu juga dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar terus dipelihara menggunakan semula bahan bacaan lama.

22 APRIL“Kita akan sumbangkan buku ini kepada Pertubuhan Kebajikan Projek Ihsan yang aktif melaksanakan Tuisyen Sayang percuma kepada golongan miskin kota.

“Sebagai permulaan, 100 pelajar Madrasah Darul Tahfiz Sri Al-Ain juga turut mendapat sumbangan,” katanya dalam kenyataan.

Orang ramai boleh membuat sumbangan dengan meletakkan buku terpakai dalam kotak yang disediakan di dua lokasi program sehingga 1 Mei ini

Kempen itu antara pengisian yang terdapat menerusi penganjuran Festival Buku dan Kanak-Kanak (FESBUK) anjuran bersama PKNS, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Stunning Seven Event (STE).

Selain aktiviti itu, FESBUK turut menyediakan aktiviti lain dengan pelbagai tarikan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.

Fakru Radzi, berkata antara pengisian lain dalam program itu termasuk aktiviti jualan buku mega, aktiviti pentas, pertandingan karaoke terbuka dan cabutan bertuah.

“FESBUK turut menampilkan kelainan dengan dengan membuat kerjasama dengan syarikat Positibo yang membawakan program sukan generasi baru,” katanya.

Orang awam boleh melayari Facebook #FESBUK16 dan laman Instagram PREC Events untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut berkaitan festival berkenaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Rafizi: “Kempen apa BN lewat malam?”

Oleh: HAFIZAN TAIB

PERMATANG PAUH, 4 MEI: Pakatan Rakyat (PR) meminta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjalankan pemantauan dan siasatan berhubung kaedah kempen Barisan Nasional (BN) didakwa dijalankan selepas jam 10 malam.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, mendakwa pihaknya memperoleh maklumat daripada sumber menyatakan BN khususnya Umno telah mengubah strategi kempen bagi menghadapi pilhanraya kecil Permatang Pauh ini.

Rafizi“Ia mengubah cara kempen daripada apa lazim digunakan parti bertanding kepada cara tradisional yang menimbulkan prasangka.

“Lawatan rumah ke rumah dibuat pada lewat malam adakah ia digunakan untuk memberi wang, menyogok atau menawarkan imbuhan sebagai ganti kepada undi pada Khamis ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, adalah jelas memasuki minggu terakhir kempen itu Umno semakin terdesak dan seharusnya SPR memberi perhatian perkara berkenaan.

“BN juga menghadapi masalah menampilkan calonnya kerana beliau seorang calon paling pemalu dalam sejarah politik Malaysia.

“Tiada sebarang kenyataan keluar dari mulutnya apabila soalan diaju kepadanya dan saya tidak pernah jumpa calon seperti ini,” katanya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga terus mencabar Suhaimi Sabudin bagi menjawab pertanyaan berhubung isu kontraktor Bumiputera dinafikan hak perniagaan di negeri itu.

“Saya minta calon BN menjawab kerana tuduhan atau fitnah dibuat Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan kontraktor Bumiputera tidak memperoleh pendapatan di Pulau Pinang.

“Sebagai kontraktor, bolehkah beliau mencari makan dengan kontrak Kerajaan Negeri?,” soalnya.

Beliau menambah, Kerajaan Negeri mengemukakan bukti terhadap segala tuduhan sekiranya jawapan diberi sebaliknya namun pihaknya yakin tiada sebarang kenyataan diberikan Suhaimi.

“Sebagai contoh, Kerajaan Negeri membuat tender terbuka sejak 2008 hingga kini apabila kontraktor Bumiputera kelas F menikmati hasil meningkat dari RM11 juta kepada RM91 juta,” katanya.

EZY