Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai disaran guna pengangkutan awam ke PPV

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Polis Diraja Malaysia menyarankan supaya orang ramai menggunakan pengangkutan awam atau “drop off” di pusat pemberian vaskin (PPV) bagi mengelak kesesakan di kawasan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata ini susulan banyak kenderaan dilihat berada di kawasan PPV sehingga kadang kala menimbulkan kesesakan serta kesukaran kepada orang ramai terutamanya penerima vaksin.

“Bermula hari ini operasi vaksinasi tanpa temu janji (walk-in) akan bermula di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), jadi penugasan anggota di kawasan tersebut akan ditingkatkan.

“Kita nasihatkan orang ramai untuk menggunakan kenderaan awam atau `drop off’ untuk mendapatkan vaksin secara jumpa terus ini,” katanya kepada Bernama di Balai Polis Trafik Jalan Bandar hari ini.

Beliau berkata sehingga kini tiada masalah besar mengenai kesesakan trafik di kawasan PPV namun tindakan awal perlu diambil bagi mengelakkan isu kesesakan timbul.

Sarifudin berkata saranan tersebut juga diberikan kepada penerima vaksin di PPV lain sekitar ibu negara iaitu di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dan Axiata Arena Bukit Jalil.

Pada 31 Julai lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaludin berkata operasi vaksinasi tanpa janji temu (walk-in) bermula 2 Ogos (hari ini) di sembilan PPV di Lembah Klang mengikut kategori.

-BERNAMA