Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Advance selamatkan 50,000 individu hampir hilang kerja

SHAH ALAM, 24 OGOS: Program Selangor Advance menyelamatkan pekerjaan 50,000 individu daripada 900 syarikat yang mengalami masalah aliran tunai akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang diperkenal dalam Pakej Selangor Prihatin sebelum ini diteruskan menerusi Pakej Kita Selangor dengan memberi kemudahan tunai kepada syarikat terbabit untuk terus beroperasi ketika penularan Covid-19.

“Selangor Advance bantu 900 syarikat dan lebih 50,000 pekerja yang berkemungkinan diberhentikan kerja kalau aliran kewangan tidak dibantu,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab serentak soalan empat Ahli Dewan Negeri yang meminta penjelasan berhubung usaha kerajaan membantu syarikat terjejas akibat penularan Covid-19 dan isu berkaitan ekonomi negeri.

Soalan dikemukakan Chua Wei Kiat (PAKATAN-Rawang), Dr Daroyah Alwi (PPBM-Sementa), Lau Weng San (PAKATAN-Banting) dan Dato’ Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong).

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan pelbagai inisiatif diperkenal menerusi beberapa pakej rangsangan sejak tahun lalu dapat memastikan ekonomi negeri ini terus bergerak dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurut Amirudin, transformasi pendigitalan perniagaan Kerajaan Negeri seperti membantu lebih 70,000 syarikat PKS yang berniaga dalam talian di platform terkenal.

“Hasil daripada RM7 juta dibelanjakan berjaya mencatat jualan langsung RM100 juta dan memberi kesan ekonomi melebihi RM1 bilion,” katanya.