Categories
AGENDA NASIONAL

247 pembekal, peruncit ayam Selangor sedia patuh, turunkan harga jualan

SHAH ALAM, 21 SEPT: Sebanyak 72.86 peratus atau 247 daripada 339 premis pembekal dan peruncit di Selangor sedia menurunkan harga jualan ayam kepada RM9.50 seperti disaran pihak berkuasa.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata 86 premis pula bersetuju membuat perubahan dengan menurunkan harga serta-merta manakala enam premis bersetuju secara bersyarat untuk berbuat demikian.

Persetujuan itu dicapai hasil libat urus antara peniaga dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam pemeriksaan pada 13 hingga 19 September.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni meninjau harga ayam di Pasar Awam Seksyen 6, Shah Alam pada 21 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sebelum ini ada pembekal dan peruncit menjual ayam pada harga antara RM10 hingga RM10.50 sekilogram.

“Pemeriksaan mendapati penurunan dan kestabilan harga runcit iaitu harga purata jualan ayam mula dijual antara RM8.50 hingga RM9.50. Misalnya ada premis runcit sekitar Sepang harga jual ialah RM8.20 hingga RM9 manakala Kuala Kubu Bharu pula harga jualan paling rendah RM8.90, begitu juga di Petaling Jaya.

“Situasi ini menunjukkan harga runcit ayam dijual di pasar dan premis runcit boleh didapati pada harga maksimum RM9.50 mengikut lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pematuhan harga bahan basah itu di Pasar Seksyen 6 di sini hari ini yang turut disertai Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Abdullah.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata pendekatan diambil KPDNHEP menerusi sesi libat urus bersama peniaga di setiap peringkat rantaian bekalan ayam mendorong kepada perkembangan positif tersebut.

Menurutnya, dua notis pengesahan maklumat barangan mengikut Seksyen 21, AntiPencatutan (AKHAP) 2011 juga dikeluarkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat terperinci berhubung harga jualan tersebut.

“Justeru, pengguna tidak perlu risau kerana kedudukan harga ayam di pasaran Selangor kini dalam situasi terkawal dan stabil,” katanya.

Beliau turut menasihati pengguna supaya membuat pembelian secara bijak dengan menyemak serta membandingkan harga berdasarkan lokasi semasa dalam radius 10 kilometer menggunakan aplikasi Price Catcher.