Categories
AGENDA NASIONAL

247 pembekal, peruncit ayam Selangor sedia patuh, turunkan harga jualan

SHAH ALAM, 21 SEPT: Sebanyak 72.86 peratus atau 247 daripada 339 premis pembekal dan peruncit di Selangor sedia menurunkan harga jualan ayam kepada RM9.50 seperti disaran pihak berkuasa.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata 86 premis pula bersetuju membuat perubahan dengan menurunkan harga serta-merta manakala enam premis bersetuju secara bersyarat untuk berbuat demikian.

Persetujuan itu dicapai hasil libat urus antara peniaga dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam pemeriksaan pada 13 hingga 19 September.

EXCO Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni meninjau harga ayam di Pasar Awam Seksyen 6, Shah Alam pada 21 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sebelum ini ada pembekal dan peruncit menjual ayam pada harga antara RM10 hingga RM10.50 sekilogram.

“Pemeriksaan mendapati penurunan dan kestabilan harga runcit iaitu harga purata jualan ayam mula dijual antara RM8.50 hingga RM9.50. Misalnya ada premis runcit sekitar Sepang harga jual ialah RM8.20 hingga RM9 manakala Kuala Kubu Bharu pula harga jualan paling rendah RM8.90, begitu juga di Petaling Jaya.

“Situasi ini menunjukkan harga runcit ayam dijual di pasar dan premis runcit boleh didapati pada harga maksimum RM9.50 mengikut lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pematuhan harga bahan basah itu di Pasar Seksyen 6 di sini hari ini yang turut disertai Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Abdullah.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata pendekatan diambil KPDNHEP menerusi sesi libat urus bersama peniaga di setiap peringkat rantaian bekalan ayam mendorong kepada perkembangan positif tersebut.

Menurutnya, dua notis pengesahan maklumat barangan mengikut Seksyen 21, AntiPencatutan (AKHAP) 2011 juga dikeluarkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat terperinci berhubung harga jualan tersebut.

“Justeru, pengguna tidak perlu risau kerana kedudukan harga ayam di pasaran Selangor kini dalam situasi terkawal dan stabil,” katanya.

Beliau turut menasihati pengguna supaya membuat pembelian secara bijak dengan menyemak serta membandingkan harga berdasarkan lokasi semasa dalam radius 10 kilometer menggunakan aplikasi Price Catcher.

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Kaunter sarung tangan dijangka catat aliran meningkat

Oleh Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Walaupun ekonomi mencatat kemerosotan yang ketara berikutan pandemik Covid-19, industri sarung tangan sebaliknya melonjak mengatasi jangkaan pasaran.

Malaysia yang memegang 65 peratus daripada bahagian pasaran sarung tangan global telah menyaksikan syarikat yang tersenarai di bursa tempatan mencatatkan kenaikan harga saham yang pesat berikutan permintaan yang kukuh.

Sejak Mac hingga pertengahan Ogos, tujuh syarikat Malaysia iaitu Top Glove, Hartalega, Supermax, Kossan Rubber, Careplus Group, Rubberex dan Comfort Gloves telah menyaksikan RM80 bilion dimasukkan dalam pasaran saham.

Top Glove dan Hartalega merupakan antara 30 syarikat utama yang tersenarai di FTSE Bursa Malaysia KLCI dari segi permodalan pasaran, yang telah menyaksikan nisbah harga kepada pendapatan (PE) mereka meningkat kepada lebih 75 peratus sepanjang tempoh tersebut.

Bagi syarikat lain, kenaikan saham diterajui oleh Supermax yang melonjak lebih 1,000 peratus dalam tempoh tersebut.

Kenaikan yang ketara dalam nisbah PE untuk setiap saham menunjukkan kedudukan yang mengalami lebihan belian.

Bagi mengurangkan impak daripada penurunan nilai dan peningkatan kemampuan pelabur, syarikat sering melaksanakan langkah pecahan saham.

Bagaimanapun, selepas Top Glove dan Supermax melakukan pecahan saham, momentum beralih kepada saham farmaseutikal didorong oleh keyakinan terhadap vaksin dan penempatan semula ekuiti terutamanya oleh pelabur runcit.

Ini menyebabkan saham yang berkaitan mencatatkan penurunan yang mendadak sejak minggu lepas berikutan sentimen belian yang lemah, menyebabkan syarikat-syarikat ini melakukan pembelian balik saham untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan pegangan ekuiti mereka.

Ia turut mewujudkan persoalan sama ada peningkatan untuk kaunter sarung tangan telah berkurangan.

Catat Peningkatan Semula Yang Kukuh Selepas Sembilan Hari Jualan Besar-Besaran

Sejak dua minggu lepas, kaunter sarung tangan telah berada di bawah tekanan jualan yang kuat atas dua sebab utama.

Menurut penganalisis ekuiti, sebab utamanya ialah mengeluarkan keuntungan dan menempatkan semula kepada saham lain terutamanya farmaseutikal dan teknologi.

“Selepas sembilan hari dagangan, trend sekali lagi kepada kaunter sarung tangan berikutan percubaan vaksin yang dihentikan oleh AstraZeneca yang berpangkalan di United Kingdom disebabkan komplikasi dan peningkatan kes Covid-19 yang berterusan di seluruh dunia,” kata penganalisis itu.

Walaupun dunia berharap kepada vaksin untuk Covid-19 dapat dihasilkan tidak lama lagi, katanya syarikat farmaseutikal yang bersaing untuk mengeluarkan vaksin tersebut, mengalami kesukaran.

Dalam tempoh dua minggu, indeks penjagaan kesihatan yang terdiri daripada pengeluar sarung tangan, penggiat farmaseutikal dan hospital menyaksikan kemerosotan sebanyak 25.17 peratus sebelum mencatatkan peningkatan semula sebanyak 9.15 peratus pada Jumaat lepas.

Pada akhir minggu ini, saham sarung tangan getah telah menguasai segmen kaunter paling untung, manakala indeks utama, FBM KLCI ditutup kukuh didorong oleh prestasi yang teguh oleh Top Glove dan Hartalega.

Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Vincent Low berkata langkah itu didorong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah dalam kaunter sarung tangan berikutan jualan besar-besaran baru-baru ini.

“Kaunter sarung tangan mengalami lebihan jualan pada minggu lepas. Pada minggu akan datang, kami menjangka permintaan untuk saham sarung tangan akan meningkat, menunjukkan pembetulan yang baik,” katanya.

Dijangka Catat Aliran Meningkat

Dari segi permodalan pasaran, Top Glove pada nilai RM62.97 bilion, Hartalega (RM42.64 bilion), Supermax (RM19.33 bilion), Kossan Rubber (RM13.66 bilion), Comfort Glove (RM2.14 bilion), Rubberex (RM1.46 bilion) dan Careplus (RM1.36 bilion).

Walaupun merosot berikutan jualan besar-besaran baru-baru ini, firma penyelidikan itu masih optimis terhadap prestasi syarikat sarung tangan pada masa depan berikutan kes Covid-19 yang belum menunjukkan tanda-tanda penurunan.

Dengan prosedur operasi kesihatan dan kebimbangan yang meningkat mengenai gelombang lain berikutan musim sejuk yang tidak lama lagi, permintaan yang stabil dan keputusan kewangan yang positif menunjukkan sektor ini stabil.

“Walaupun pelabur runcit sering mengikut trend sama ada membeli atau menjual, kami yakin syarikat sarung tangan adalah aset untuk melabur berikutan pandemik itu akan mewujudkan norma baharu, menjadikan permintaan terhadap sarung tangan pada kedudukan yang stabil,” kata penganalisis ekuiti itu.

-BERNAMA